Anda di sini

Penagihan dadah sumbang jenayah pecah rumah, curi

Advertisement

Penagih melakukan jenayah untuk mendapatkan wang

SANDAKAN: Pembabitan dalam penagihan dadah antara faktor yang menjadi penyumbang penglibatan penjenayah dalam kegiatan pecah rumah dan curi harta benda di daerah ini.

Ia berikutan, kejayaan Polis Daerah Sandakan menangkap 11 orang yang terbabit dalam kes pecah rumah dan curi harta benda sejak Julai lepas hingga kelmarin dengan 10 daripada mereka positif menggunakan dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Md Zain berkata faktor pembabitan dalam penagihan dadah sudah tentu mendorong penagih untuk melakukan jenayah bagi mendapatkan wang.

Sehubungan itu, operasi membanteras jenayah dan penyalahgunaan dadah sentiasa diberi keutamaan dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di daerah ini, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurutnya 11 orang yang ditahan itu menerusi enam siri tangkapan terdiri daripada 10 lelaki dan seorang wanita, kesemuanya berumur antara 14 hingga 40 tahun.

Sepuluh orang yang didapati positif menggunakan dadah adalah termasuk seorang wanita 32 tahun dan tiga remaja bawah umur antara 14 hingga 16 tahun, katanya.

Zabidi berkata polis dapat menyelesaikan 18 kes pecah rumah dan curi harta benda di sekitar daerah ini membabitkan kawasan taman perumahan dan kedai dari bandar Sandakan hingga ke Batu 12 Jalan Labuk.

Katanya sebanyak 91 barangan pelbagai jenis dirampas daripada enam tangkapan membabitkan komputer riba, telefon bimbit, barangan elektrik, pakaian, kasut, basikal, sebuah motosikal dan dua kereta.

Beliau berkata faktor kelalaian pemilik rumah atau barangan juga menyumbang kepada kes pecah rumah dan curi harta benda.

Katanya antaranya meninggalkan rumah tidak berkunci, meninggalkan kunci di kenderaan dan meletakkan barang di tempat tidak selamat.

Menurutnya ia memberi peluang kepada penjenayah melakukan kegiatan mereka. — Bernama

Advertisement