Anda di sini

KKR Axis, DBKU berentap saingan separuh akhir Piala Abang Johari

Advertisement

KUCHING: KKR Axis dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bakal berentap dalam saingan separuh akhir Kejohanan Piala Datuk Amar Abang Johari Tun Openg 2015.

Ini selepas kedua-dua skuad berjaya menundukkan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir pada minggu lalu.

Mencuri tumpuan KKR Axis yang kenduri gol dengan 10-1 menewaskan I.E.M FC pada perlawanan yang berlangsung di Stadium C pada Sabtu lalu.

Penyerang muda, Iqmal Mustaqkim Kamrodin muncul wira dengan ledakan empat gol pada minit kedua, ke-74, ke-85 dan ke-88.

Abang Mohd Saiful Abang Othman turut mencetak nama selaku penjaring dengan dua gol pada minit ke-17 dan ke- 55 selain Nazarudin Bohri juga dengan dua gol pada minit ke-28 dan ketiga.

Di samping Mohd Izzudin Jahidin dan Mohd Zahin Farhan menjaringkan satu gol pada minit ke-36 dan ke-66.

Manakala gol tunggal pasukan I.E.M FC dijaringkan Mohd Fatullah minit ke-43.

“Kemenangan di luar jangkaan bagi pasukan dan kredit kepada pemain-pemain kerana menunjukkan komitmen cukup tinggi,” kata Pengurus Pasukan, Ahmad Zaki Zaidi mengulas aksi pemainnya.

“Saya yakin kita mampu melangkah ke final jika pemain- pemain dapat mengekalkan momentum sama dalam aksi seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, DBKU terpaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan 2-1 ke atas Petra Giant FC yang hanya bermain dengan 10 pemain pada perlawanan kelmarin.

Dua gol DBKU dijaringkan Izray Iffarul Roslan minit ke-45 dan Azmie Kifli minit ke-62.

Manakala gol sagu hati Petra Giant dijaringkan oleh Ram Fadillah Ramlan minit ke-55.

“Syabas kepada semua pemain kerana berjaya mengekang asakan Petra Giant yang tidak berputus asa walaupun hanya bermain dengan 10 pemain,” kata jurulatih DBKU, Idris Untong.

Beliau juga berharap semua pemain dapat mengekalkan momentum pada aksi separuh akhir nanti.

Pentas separuh akhir mempertemu FC Brooke menentang Riaz pada Sabtu ini (22 Ogos) manakala KKR Axis menentang DBKU pada Ahad (23 Ogos).

Kedua-dua perlawanan berlangsung di Padang C di sini bermula jam 4 petang.

 

 

Advertisement