Anda di sini

Tommy ‘dewa penyelamat’ Ngap Sayot

Advertisement

KUCHING: Pemain Piala Presiden Sarawak, Tommy Mawat muncul wira apabila menjaringkan gol penyamaan untuk Sarawak mengikat ATM dengan 1-1 pada perlawanan Liga Super 2015 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.

Keputusan itu menghidupkan peluang Sarawak kekal dalam kancah Liga Super musim depan selepas mengumpul 16 mata untuk berada di tangga ke-10 diekori ATM di tangga ke-11 dengan 11 mata.

Skuad kendalian Fuad Grbesic kini perlu menang atau seri pada dua perlawanan akhir perlawanan menentang LionsXII (22 Ogos) atau Kelantan (29 Ogos).

Pada perlawanan kelmarin, tuan rumah membimbing permainan seawal minit kelima menerusi pemain import dari Nigeria, Abdulafees Abdulsalam.

Menyedari ketinggalan, Fuad mengubah strategi dengan membawa masuk Tommy pada separuh masa kedua bagi menggantikan Shahrol Saperi.

Tommy tidak mensiasiakan peluang itu dengan meledakkan jaringan pertamanya untuk skuad senior pada minit ke-54 sekali gus memastikan Sarawak membawa pulang satu mata.

“Saya sangat berpuas hati dengan persembahan semua pemain.

Lebih-lebih lagi prestasi ditunjukkan oleh Tommy (Mawat).

Beliau semakin matang dan memiliki potensi besar,” jelas Fuad mengulas perlawanan itu.

Menurut Fuad, perlawanan itu wajar dimenangi Sarawak dengan mengambil kira deretan peluang yang mereka miliki.

“Kita bermain dengan baik dan memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disempurnakan dengan baik,” katanya.

Sarawak akan menentang LionsXII di Stadium Negeri pada Sabtu ini (22 Ogos).

 

Advertisement