Anda di sini

Skuad Sibuti Bavarian’s Football Club ungguli bola sepak Piala Belia Bawah 19 Tahun Bintulu

Advertisement

MIRI: Sibuti Bavarian’s Football Club (SBFC) mengungguli kejohanan Bola sepak Piala Belia Bawah 19 Tahun Bintulu 2015 yang berlangsung selama dua hari di padang Dewan Suarah Bintulu.

SBFC merupakan pasukan jemputan pada kejohanan dianjurkan Persatuan Bola Sepak Bintulu (BIFA) muncul juara selepas memenangi perlawanan tiga kali berturut-turut dengan membenam Young Crane Bintulu dengan 3-0, Projek Bola Sepak BIFASMK Kemena 1-0 dan membelasah Akademi Bola Sepak SMK Assakirin dengan 4-0.

Manakala naib juara dimenangi pasukan Projek Bola Sepak BIFASMK Kemena.

Penjaring terbanyak dimenangi oleh Mohd Alif Drahman dari pasukan SBFC manakala pemain terbaik kejohanan ialah Johannes Gelayan Sumbang juga dari SBFC.

Sementara itu, kejohanan tersebut menjadi landasan buat BIFA memilih pemain-pemain bawah 19-Tahun Bintulu ke kejohanan Piala Belia Bawah 19 Tahun Sarawak yang akan diadakan di Miri pada 3 hingga 9 September depan.

Pengurus pasukan, Yussri Ali memberitahu pihaknya amat berterima kasih kepada BIFA menjemput Kelab SBFC ke kejohanan tersebut sekali gus membantu memantapkan mutu permainan pasukan terbabit.

“Saya juga amat bersyukur dengan kejayaan itu dan berasa bangga dengan komitmen barisan kejurulatihan, kerja keras semua pemain semasa sesi latihan akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya.

Barisan pemain SBFC adalah terdiri 13 orang pelajar dari Kolej Vokasional Miri dan lima pelajar dari Kolej Vokasional Bintulu.

Yussri memberitahu, SBFC amat bertuah kerana mempunyai dua orang jurulatih yang komited dan mengakui kombinasi dua jurulatih pasukannya, Mohd Hakimi Man dan Ismail Lumut berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap.

 

Advertisement