Anda di sini

Sejarah jalinkan hubungan dua negara

Advertisement

SANDAKAN: Malaysia dan Australia, masing-masing telah melalui pelbagai transformasi sejak Perang Dunia Kedua yang berlaku 70 tahun lepas.

Bagaimanapun, Gabenor Jeneral Australia Sir Peter Cosgrove berkata, kedua-dua negara ini mempunyai hubungan yang dibentuk hasil daripada pengalaman peperangan yang pahit di mana ia tidak boleh dan tidak akan dilupakan.

“70 tahun yang lepas, Perang Dunia Kedua telah sampai ke penghujungnya. Tempat ini (Sandakan) menjadi saksi kepada satu tragedi ketika itu apabila ramai lelaki dan wanita yang berdepan peperangan, hanya segelintir yang kekal.

“Cerita mereka, kesedihan dan kehilangan berlalu daripada memori kepada sejarah. Hampir 2,000 tawanan perang rakyat Australia dan British telah dipaksa untuk berarak lebih 250 kilometer menuju ke Ranau.

“Mereka yang sakit akan dibunuh atau dibiarkan sehingga mati. Begitu juga mereka yang terjatuh. Daripada jumlah besar itu, hanya enam sahaja yang terselamat. Begitu banyak nyawa terkorban dan mereka meninggalkan keluarga tercinta di mana kesakitannya masih terasa sehingga kini,” katanya ketika berucap sempena Hari Peringatan Sandakan di Taman Peringatan Sandakan di sini, kelmarin.

Menurut beliau, rakyat tempatan juga menderita dan negara itu akan sentiasa bersyukur atas sokongan yang mereka tunjukkan kepada tahanan perang.

“Meskipun berisiko, namun mereka berani membantu tahanan perang dan memberi perlindungan kepada beberapa orang yang berjaya melepaskan diri.

“Contoh keberanian dan perikemanusiaan ini merupakan cerita yang boleh disampaikan kepada anak-anak kita. Kami sentiasa mengingati mereka seperti mana kami mengingati diri sendiri,” jelasnya.

Lebih 100 orang terdiri daripada keluarga dan sanak saudara tentera Australia dan British yang terkorban semasa Perang Dunia Kedua di Sandakan telah hadir bagi memperingati kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, keamanan yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan mereka yang terdahulu.

Beliau juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Lembaga Pelancongan Sabah kerana menganjurkan hari peringatan itu setiap tahun dengan kerjasama Office of Australian War Graves.

Katanya, hari peringatan berkenaan pastinya akan membawa Australia dan Sabah lebih dekat.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Rod Smith, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Vicki Treadell, Timbalan Ketua Misi Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard Kagan,  Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Pang Yuk Min dan Presiden MPS Datuk James Wong.

Advertisement