Anda di sini

Penyertaan program pecah tabung Bank Rakyat melebihi sasaran

Advertisement

KOTA KINABALU: Penyertaan seramai 314 orang kanak-kanak dalam Program Pecah Tabung di negeri ini membolehkan Bank Rakyat Sabah menyumbang kepada usaha merekodkan Program Pecah Tabung dan Mewarna ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘jumlah tabung terbanyak didepositkan serentak oleh kanak-kanak’.

Ketua Wilayah 5 Bank Rakyat Sabah Norahim Buang berkata, Bank Rakyat menyasarkan seramai 300 pendeposit kanak-kanak akan mengambil bahagian di setiap lokasi, namun penyertaan yang diterima di Sabah sudah melebihi sasaran.

Katanya, Program Pecah Tabung dan Mewarna itu diadakan secara serentak di seluruh negara di 14 buah lokasi dan ia dilihat akan membolehkan program berkenaan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Jumlah tabung terbanyak didepositkan serentak oleh kanak-kanak’.

Katanya, program yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan dalam kalangan kanak-kanak yang menjadi pendeposit Bank Rakyat di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Penutupan Program Pecah Tabung dan Mewarna Bank Rakyat, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lok Yuk, Likas, di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Sektor bahagian Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah Raisin Saidin yang mewakili Pengarah JPN Sabah Datuk Jame Alip.

Di seluruh negara, mereka menyasarkan menerima penyertaan seramai 4, 200 orang kanak-kanak untuk menyertai program itu dengan jumlah deposit yang disasarkan berjumlah RM1 juta.

Norahim berkata, melalui program pecah tabung, seramai lima peserta yang mempunyai jumlah tabungan tertinggi masing-masing diberikan baucar bernilai RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM100.

Manakala, untuk Pertandingan Mewarna Nuri, pemenang berpeluang memenangi baucar bernilai RM1, 000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima baucar bernilai RM700 dan RM500.

Kesemua hadiah berkenaan akan dimasukkan ke dalam Akaun Simpanan-i Nuri Bank Rakyat milik pemenang.

Sementara itu, Naib Presdien Kanan bahagian Jaringan Cawangan Bank Rakyat, Mohd Shahril Isa dalam ucapannya berkata, program sebegitu diadakan untuk mendidik kanak-kanak untuk menabung sejak pada usia muda.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menarik lebih ramai kanak-kanak untuk melanggan dan menabung dalam Akaun Simpanan-i Nuri.

Katanya, dengan tersenarainya Program Pecah Tabung dan Mewarna itu ke dalam MBOR, ia menjadi program kedua anjuran Bank Rakyat tersenarai dalam MBOR selepas Majlis Rumah Terbuka Raya cawangan Bank secara serentak disenaraikan dalam MBOR pada 30 Julai lalu.

Pada program yang disertai sebanyak 15 sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang, Likas, Tuaran dan Putatan itu, deposit paling tinggi yang diterima adalah berjumlah RM10, 510.70.

Dengan deposit sedemikian ia melayakkan Muhammad Al Fattah Darwish Abdul Malek dinobatkan sebagai pemenang dan kanak-kanak itu membawa pulang baucar bernilai RM500.

Berada di tempat kedua ialah Sofia Azza Jalman dengan deposit yang berjumlah RM8, 804.75 dan tempat ketiga Nur Najjuah Najiha Azuan dengan deposit terkumpul sebanyak RM6, 929.29.

Manakala, Daphne Emerald Jestie dengan deposit RM4, 582.60 dan Adriana Yawseet Anderis dengan deposit RM3, 040 memenangi tempat keempat dan kelima.

Sementara itu, bagi pertandingan mewarna kategori umur tujuh hingga sembilan tahun pula dimenangi oleh Afiq Adham Abd Hamid sementara pemenang kategori 10 hingga 12 tahun dimenangi oleh Amanda Cheryl Wong.

Advertisement