Anda di sini

Autonomi lancarkan pembangunan: Jainab

Advertisement

Sabah sambut baik kesediaan kerajaan pusat

 Panduan ke arah keluarga bahagia’.

DILANCAR: Jainab (tengah), Harun (kanan) dan Anis menunjukkan buku ‘Integriti dalam keluarga: Panduan ke arah keluarga bahagia’.

KOTA KINABALU: Kesediaan kerajaan pusat untuk memberikan kuasa autonomi kepada Sabah akan membolehkan kerajaan negeri membuat program yang lebih baik untuk rakyat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, usaha itu sangat dialu-alukan kerana ia akan memberikan lebih banyak kebaikan kepada Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin orang Sabah dan Sarawak akan lebih gembira dan hormat kepada kerajaan…pemberian autonomi ini juga akan membuatkan kita lebih senang membantu Perdana Menteri menjalankan perancangan yang lebih baik.

“Sekarang banyak kedengaran isu yang ingin membawa Sabah keluar dari Malaysia tanpa memikirkan kesannya seperti akan terdapat negara mengambil kesempatan untuk mengambil Sabah,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku ‘Integriti dalam keluarga: Panduan ke arah keluarga bahagia’, di sini kelmarin.

Beliau berkata, sejak pembentukan Malaysia pelbagai bantuan telah diberikan kerajaan persekutuan dalam usaha membangunkan Sabah dan kebajikan rakyatnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Jainab berkata ibu bapa berperanan sebagai ejen utama dalam menerapkan nilai integriti dalam kalangan kanak-kanak.

Katanya, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memperkasakan rumah tangga melalui pelbagai pendekatan termasuklah menjadi contoh teladan yang baik sama ada dari segi tingkah laku ataupun lisan terhadap anak-anak mereka.

“Menjadi tanggungjawab individu untuk membentuk peribadi mulia, melengkapkan diri dengan ilmu rumah tangga termasuklah ilmu keibubapaan dalam membentuk keluarga yang utuh dan harmoni.

“Rumah tangga yang bahagia serta stabil dari segi emosi dan kewangan merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan pelan integriti nasional dalam jangka panjang,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Harun Abdullah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia Dr Anis Yusal Yusoff.

Advertisement