Anda di sini

Polis terbunuh sepatutnya boleh diselamatkan

Advertisement

Pegawai itu masih mempunyai peluang untuk hidup jika beliau mendapat rawatan yang sewajarnya

KOTA KINABALU: Seorang pegawai Cawangan Khas Bukit Aman yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Simunul di Semporna pada 2 Mac 2013 sepatutnya boleh diselamatkan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Nurul Kharmila Abdullah berkata berdasarkan pemeriksaan ke atas mayat Allahyarham Supt Ibrahim Lebar, pegawai polis itu masih mempunyai peluang untuk hidup jika beliau mendapat rawatan sewajarnya.

“Luka kesan tembakan di dada mangsa tidak mengenai organ penting yang membawa kepada kematian serta-merta,” kata beliau.

Beliau memberi keterangan dalam perbicaraan ke atas 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan oleh pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin, beliau berkata seorang pegawai penyiasat memberitahu beliau bahawa adalah sukar untuk membawa mangsa keluar dari kawasan pertempuran bagi membolehkannya mendapat rawatan segera.

Dr Nurul Kharmila memberitahu mahkamah beliau melakukan autopsi ke atas mayat pegawai polis itu pada 4 Mac 2013, dari jam 4.15 pagi hingga 6 pagi di Hospital Tawau.

Selain kecederaan akibat tembakan pada dada mangsa, beliau berkata terdapat luka akibat tetakan pada kepala dan punggung.

“Mangsa kehilangan banyak darah akibat luka tembakan,” jelasnya.

Selain menjalankan autopsi ke atas mayat Ibrahim, Dr Nurul Kharmila berkata beliau turut melakukan bedah siasat ke atas mayat Lans Koperal Mohd Azrul Tukiman dan Sarjan Abd Azis Sarikon.

Saksi itu berkata beliau melakukan autopsi ke atas mayat Mohd Azrul dari jam 11.30 malam, 3 Mac 2013 hingga jam 1 pagi keesokan harinya di Hospital Tawau.

Pemeriksaan luaran terhadap mayat mangsa mendapati kepalanya terpisah daripada badan, dengan otaknya mengalami kecederaan teruk dan terdapat kesan gigitan pada muka.

“Terdapat luka tembakan pada kepala dan bahu, dan beberapa kesan torehan di belakang badan yang saya dapati dilakukan selepas mangsa sudah meninggal dunia,” kata beliau sambil menambah, mangsa mati akibat tembakan senjata api.

Dr Nurul Kharmila berkata beliau turut melakukan autopsi ke atas mayat Sarjan Abd Azis Sarikon selama sejam bermula jam 2 pagi pada 4 Mac 2013 dan mendapati mayat mangsa sudah mula mereput dengan beberapa kesan tetakan di kepala dan belakang.

Beliau berkata peluang mangsa untuk hidup jika mendapat rawatan perubatan segera agak tipis berikutan tahap kecederaan yang sangat serius.

Katanya, beliau turut melakukan autopsi ke atas mayat yang ditandai sebagai “TIDAK DIKENALI 4” yang beliau percaya adalah mayat penceroboh Sulu.

Beliau berkata punca kematian lelaki yang tidak dikenali itu ialah kecederaan akibat tembakan di kepala.

Di dalam kandang tertuduh, 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan berdepan dengan pelbagai pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga didakwa merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai kumpulan pengganas.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 12 Feb hingga 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini. — Bernama

Advertisement