Anda di sini

Malaysia mahu jadi tuan rumah Jambori Pengakap ASEAN 2016

Advertisement

KUANTAN: Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) berhasrat menjadi tuan rumah Jambori Pengakap ASEAN pada tahun depan, kata ketuanya Tan Sri Dr Shafie Mohd Salleh.

Beliau berkata PPM akan melobi supaya hak penganjuran itu diberikan kepada Malaysia, memandangkan perkara itu masih di peringkat perbincangan antara persekutuan pengakap negara-negara ASEAN.

“Kita bercadang mengadakan Jambori ASEAN secara serentak dengan Jambori Pengakap Nasional di Taman Metropolitan Batu di Kepong pada Disember tahun depan,” katanya kepada pemberita di Taman Pertanian Jublee Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.

Terdahulu, Shafie merasmikan Jambori Pengakap Pahang yang diadakan sempena ulang tahun ke-105 penubuhan pasukan beruniform itu di negeri berkenaan, dengan melibatkan penyertaan sebanyak 1,157 peserta.

Beliau turut menyifatkan penganjuran Jambori ASEAN itu, jika berjaya, sebagai tepat pada masanya memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Jika kita diberikan hak untuk mengadakan jambori itu, ini juga satu lagi pengiktirafan kepada PPM selepas perpindahan ibu pejabat Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) ke Kuala Lumpur pada tahun lepas,” katanya.

Untuk rekod, WOSM yang sebelum ini berpangkalan di Geneva, Switzerland, berpindah secara rasmi ke Sentral Vista, Brickfields dan perasmian ibu pejabat itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 18 Jun 2014.

Mengenai Jambori Pengakap Pahang selama enam hari yang bermula Jumaat lepas, Shafie mahu supaya penganjuran program itu diadakan dua tahun sekali, berbanding lima tahun sekali pada masa ini.

Beliau berkata program seumpama itu juga dapat memupuk semangat perpaduan, setiakawan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, selain menguji kemahiran anggota dalam ikhtiar hidup.

“Jambori seperti ini juga menjadi platform persediaan kepada anggota pengakap yang terpilih untuk mewakili negara pada jambori di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sempena kunjungan beliau ke Pahang, Shafie turut menziarah dan menyampaikan Pingat Jasa Pengakap kepada Datuk Yaakob Isa, 76, di Taman Guru di sini, sebagai menghargai sumbangan anggota veteran berkenaan sejak menyertai pasukan beruniform itu pada 1949. — Bernama

Advertisement