Anda di sini

Pemilihan presiden MIC tidak sah

Advertisement
 G Palanivel dikelilingi para penyokongnya selepas menang tanpa bertanding dalam penamaan calon sebagai presiden parti itu di Pusat Konvensyen HGH, Jalan Sentul, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

RAI KEMENANGAN: G Palanivel dikelilingi para penyokongnya selepas menang tanpa bertanding dalam penamaan calon sebagai presiden parti itu di Pusat Konvensyen HGH, Jalan Sentul, Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

2,800 ketua cawangan tidak iktiraf pemilihan penyokong Palanivel semalam

SUBANG JAYA: Proses pencalonan dan pemilihan jawatan Presiden MIC yang dijalankan penyokong Datuk Seri G. Palanivel semalam adalah tidak sah dan tidak rasmi, kata Pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata sebanyak 2,800 ketua cawangan MIC yang berhimpun di sini semalam bersetuju untuk tidak mengiktiraf keputusan pemilihan presiden yang dijalankan itu.

“Kita telah pun memutuskan bahawa segala tindakan mesyuarat atau pemilihan yang dijalankan oleh mana-mana pihak lain selain daripada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim MIC 2009 yang ada pada hari ini (semalam), adalah tidak rasmi dan tidak diterima dari segi perundangan.

“Saya diberitahu ada pencalonan yang telah berlangsung di Sentul pagi ini (semalam)  untuk jawatan presiden parti MIC, itu bukan sah, tidak rasmi dan tidak diterima oleh mana-mana pihak termasuk parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bersama Ketua Cawangan MIC di sini, semalam.

Semalam, dalam proses pencalonan anjuran penyokong Palanivel di Sentul, bekas menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu diisytiharkan menang tanpabertanding jawatan Presiden MIC bagi penggal 2013-2016.

Dr Subramaniam menegaskan bahawa pencalonan rasmi bagi jawatan nombor satu parti itu akan diadakan pada 21 Ogos ini dan hanya calon yang bakal dipilih pada hari penamaan itu adalah rasmi.

Pemilihan bagi jawatan presiden parti berusia 68 tahun itu akan diadakan pada 6 Sept ini sekiranya terdapat calon yang ingin bertanding bagi merebut jawatan tersebut.

Menteri Kesihatan itu berkata perhimpunan ketua cawangan semalam turut sebulat suara menyokong beberapa resolusi termasuk menerima kehilangan lima keanggotaan MIC secara persendirian (Ipso Facto) termasuk Palanivel.

Empat lagi ahli MIC yang hilang keahlian adalah dua naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Tan Sri S. Balakrishnan, bekas Setiausaha Agung MIC, A. Prakash Rao dan anggota CWC, A. K. Ramalingam.

Dr Subramaniam berkata perhimpunan itu juga menyokong tindakan wajar yang perlu dilaksanakan oleh CWC Interim 2009 mengikut arahan PendaftarPertubuhan (RoS) seperti mana yang terkandung dalam surat yang dihantar oleh pihak Ros bertarikh 5 Dis 2014, 19 Jan dan 6 Feb 2015.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Dr Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis lepas dengan meminta parti itu mengadakan pemilihan semula parti.

Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada setiausaha agung CWC sementara MIC bagi 2009, A. Sakthivel, menyatakan bahawa secara ‘ipso facto’, Palanivel bukan lagi anggota MIC.

Surat itu juga menyatakan bahawa Dr Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel sebagai pemangku presiden MIC. — Bernama

Advertisement