TAWAU: Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ariffin Mohd Arif menasihatkan agar jemaah haji di negeri ini menjaga nama baik negara ketika menunaikan ibadah itu di Tanah Suci.
Beliau berkata umat Islam di negara ini terkenal dengan disiplin yang tinggi ketika menunaikan haji, justeru para jemaah yang bakal ke Tanah Suci perlu terus mengekalkan nama baik itu.
“Jemaah haji Malaysia merupakan antara jemaah yang sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi kerana mereka sering kali memuji jemaah kita mempunyai akhlak yang terpuji, berdisiplin serta bersopan santun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan kursus Perdana Haji Peringkat Negeri, Zon Pantai Timur di Masjid Al-Kauthar di sini, semalam.
Ariffin yang juga bertanggungjawab mengenai agama Islam di Sabah turut menasihatkan bakal haji supaya menanamkan niat dalam diri masing-masing untuk menunaikan haji sebagai tetamu Allah dan berusaha sebaik mungkin untuk kembali dengan mendapat haji yang mabrur. — Bernama