Anda di sini

Hari Taska Kebangsaan 2015 memilih tema alam sekitar

Advertisement

KOTA KINABALU: Dalam usaha memupuk nilai cinta akan alam sekitar, sambutan Hari Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) Peringkat Kebangsaaan pada tahun ini telah memilih tema persekitaran.

Selari dengan tema itu, kempen ‘TASKAs Go Green’ turut dilancarkan yang melibatkan semua taska di seluruh negara termasuk di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata, selari usaha itu menjadi satu aspek penting bagi memastikan kelestarian alam sekitar berterusan pada masa hadapan.

“Dengan pelbagai kejadian bencana alam yang menimpa negara kita pada tahun ini, adalah penting untuk kita melihat semula agenda dan memberi keutamaan dalam usaha melestarikan alam sekitar.

“Justeru selari dengan usaha ini, saya ingin menyeru supaya semua taska khususnya di Sabah untuk mengambil peluang ini dengan mendidik anak-anak untuk mencintai dan memulihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada sambutan Hari Taska Peringkat Kebangsaan 2015 di sini, kelmarin.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam pada itu, Jainab berkata inisiatif pelancaran kempen itu amat baik kerana melibatkan taska, pengasuh, kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat.

Beliau turut mencadangkan supaya perkongsian idea oleh taska mengenai ‘Go Green’ didokumentasi agar dapat dikongsi bersama dan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

“Kerjasama dengan agensi yang berkaitan dengan alam sekitar amat dialu-alukan dalam memberi sokongan sama ada dalam bentuk khidmat nasihat atau peralatan,” katanya.

Pada sambutan Hari Taska itu, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan fesyen kanak-kanak dengan tema ‘Go Green’, pertandingan membuat kolaj kanak-kanak bersama dengan ibu bapa dengan tema ‘Taska’s Go Green’ dan gerai pameran.

Lebih 32 taska sekitar Kota Kinabalu telah menyertai sambutan Hari Taska yang dianjurkan oleh Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah dengan kerjasama Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Advertisement