Anda di sini

DCA akan siasat insiden pesawat AirAsia ‘mengundur di klia2

Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan menyiasat insiden pesawat ‘mengundur’ yang dikatakan berlaku pada 17 Julai di klia2 seperti yang dilaporkan media.

Dalam satu kenyataan semalam, DCA bagaimanapun berkata jabatan itu tidak menerima laporan rasmi mengenainya.

Berdasarkan laporan media, insiden itu melibatkan Penerbangan AirAsia Indonesia QZ0120 di Bay Q11, klia2.

DCA berkata sebagai badan pengawal selia yang bertanggungjawab ke atas keselamatan dan kecekapan pengangkutan udara negara, ia mengambil berat ke atasperanan dan tanggungjawabnya dalam memastikan pematuhan Standard Antarabangsa dan Amalan yang Dicadangkan oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dilaksanakan.

“Untuk itu, DCA melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan berterusan ke atas lapangan terbang bagi memastikan pemilik atau operator mengekalkan dan meningkatkan tahap keselamatan di lapangan terbang.” katanya.

DCA berkata pasukan pemeriksaan bersama MAHB-AirAsia sudah pun ditugaskan untuk menjalankan pemeriksaan harian bagi memastikan ruang parkir dan laluan pesawat mematuhi Standard dan Amalan Yang Dicadangkan sebelum kawasan pergerakan pesawat dibuka untuk digunakan.

“Kawasan yang tidak mematuhi syarat dan pematuhan keselamatan ditutup dan kerja pembaikan dilakukan,” katanya. — Bernama

Advertisement