Anda di sini

Pembukaan semula aktiviti pendakian beri sinar harapan kepada peniaga

Advertisement

RANAU: Pengumuman bahawa aktiviti pendakian bakal dibuka semula sehingga KM6 (Laban Rata) bermula 1 September ini seakan-akan memberi sinar harapan kepada pengusaha pusat penginapan dan peniaga di sekitar Kundasang.

Bagi Penyelia J.Residence Judith Mailis, 25, pembukaan semula pendakian ke Gunung Kinabalu itu diharap akan meningkatkan semula jumlah pengunjung yang tinggal di situ.

Katanya, sejak tragedi maut gempa bumi berukuran 5.9 skala ritcher yang mengorbankan 18 nyawa pada 5 Jun lalu, perniagaan di situ terjejas hampir 60 peratus berbanding sebelum insiden berkenaan berlaku.

Beliau berkata, sebaik sahaja insiden itu berlaku, 50 peratus tempahan yang telah dibuat di J.Residence secara dalam talian dibatalkan oleh pelanggan.

“Pada waktu itu perniagaan kami sangat terjejas kerana kebanyakan pelanggan yang menginap di situ terdiri daripada pelancong yang ingin mendaki Gunung Kinabalu,” katanya ketika ditemui di Gerai Sayuran Kg Kinasaraban, Kundasang, di sini kelmarin.

Disebabkan faktor jarak J.Residence hampir dengan Taman Kinabalu, resort berkenaan menjadi antara pilihan utama pelancong Eropah dan tempatan.

Menurutnya, kebanyakan pendaki yang menginap di situ terdiri daripada pelancong Eropah.

Penginapan yang dibuka sejak 10 tahun lalu itu mempunyai sembilan rumah yang mampu memuatkan seramai 20-30 orang pelanggan dalam satu-satu masa.

Ketika diminta mengimbau kembali keadaan semasa gempa bumi berlaku, Judith berkata, ramai pelanggan mereka meninggalkan penginapan masing-masing pada sebelah malam sebaik sahaja gempa berlaku.

Malah, ada antara pelanggan yang meninggalkan resort itu dengan hanya meletakkan kunci di bilik masing-masing.

Beliau berkata, setelah hampir sembilan minggu insiden gempa itu berlaku, pelanggan yang menginap di situ semakin meningkat hampir 20 peratus.

Ditanya mengenai reaksinya sendiri ketika gempa bumi itu berlaku, Judith berkata, beliau tidak berasa panik dan hanya berada di situ sahaja.

Menurutnya, tragedi itu tidak menjejaskan mana-mana rumah penginapan yang berada di resort itu kerana kedudukan resort yang berada jauh dari kaki Gunung Kinabalu.

Sementara itu, anak kepada peniaga sayuran, Michelle Patrick, 20, berkata, sejak tragedi gempa bumi berlaku pada 5 Jun lalu, pelanggan yang berkunjung ke Gerai Sayuran di Kampung Kinarasaban, Kundasang semakin berkurangan.

Ia kerana pelanggan yang membeli sayuran di situ bukan sahaja terdiri daripada pelanggan tempatan tetapi juga pelancong asing yang menginap di pusat penginapan serta pengusaha restoran yang mendapatkan bekalan daripada mereka.

Dengan berkurangnya jumlah pelancong yang datang ke Taman Kinabalu, pembelian sayuran dalam kalangan pelancong asing yang menginap di kawasan sekitar juga makin berkurangan.

Ia kerana ada antara pelancong China yang membeli sayuran di sini untuk dimasak di pusat penginapan masing-masing.

“Malah, ada antara restoran berhampiran yang mendapatkan bekalan sayuran daripada gerai-gerai di sini maka, jika pengunjung yang datang ke Kundasang dan Ranau berkurangan maka, pembelian sayuran juga tidak banyak,” katanya yang membantu ibunya di gerai itu setiap kali musim cuti semester.

Penuntut tahun satu dalam bidang psikologi, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini berkata, sehingga kini pelanggan masih berkurangan biarpun semasa cuti Hari Raya. Jika sebelum ini, semasa cuti perayaan, pelanggan yang datang membeli sayuran agak ramai.

Adalah diharapkan agar pembukaan semula aktiviti pendakian dalam masa terdekat ini membolehkan perniagaan sayuran di Kundasang kembali seperti sedia kala.

Ditanya mengenai harga sayuran di situ selepas insiden gempa bumi, Michelle berkata, harga sayuran sedikit meningkat hanya selepas kejadian banjir lumpur yang berlaku di Mesilou.

Ia kerana kebanyakan kubis diperoleh dari kawasan yang terjejas banjir lumpur.

“Selepas banjir lumpur harga kubis bulat sekilo adalah RM3 berbanding RM1-RM2 sebelum banjir berlaku,” katanya.

Bagi pemilik Restoran & Kafe Intan di Kundasang, Wasna Majis, perniagaan di restoran miliknya terjejas teruk iaitu hampir 50 peratus jumlah pelanggan berkurangan dalam tempoh hampir dua minggu selepas insiden gempa berlaku.

Bagaimanapun, sebaik sahaja Desa Lembu kembali beroperasi seperti biasa, kedatangan pelanggan ke situ kembali bertambah.

“Kebanyakan pelancong mulai singgah ke sini apabila ingin pergi atau pulang selepas mengunjungi Desa Lembu dan kawasan-kawasan pelancongan di Kundasang,” katanya.

Beliau berharap agar selepas aktiviti pendakian dibuka semula, keadaan di Kundasang akan kembali normal seperti sebelum ini di mana, ramai pelancong tempatan dan luar negara yang datang ke Kundasang.

Advertisement