Anda di sini

Waspada jenayah rentas sempadan

Advertisement

Pengusaha resort tidak boleh leka, penjenayah dari negara jiran masih aktif

SEMPORNA: Pengusaha pusat pelancongan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diminta supaya sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan, terutama ancaman daripada penjenayah rentas sempadan.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata ini kerana penjenayah dari selatan negara jiran yang dikatakan bertanggungjawab melakukan kes penculikan di ESSZone sebelum ini dipercayai masih aktif dan sentiasa mencari peluang terbuka.

“Sebab itu, saya minta pengusaha pelancongan (resort) khususnya di daerah Semporna ini supaya sentiasa berwaspada, insiden penculikan di Restoran Ocean King di Sandakan baru-baru ini seharusnya menjadi pengajaran kita semua.

“Walaupun tiada kes penculikan terbaru berlaku di perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu sejak setahun yang lepas (sejak perintah berkurung dikuatkuasakan), kita tidak sepatutnya leka,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Khas Keselamatan bersama pengusaha resort di sini kelmarin.

Turut hadir Pegawai Daerah Semporna Dr Chaco Bullah, Timbalan Komander Datuk Md Rahim Mohamad, Pengarah Komponen Laut ESSCom Laksamana Pertama Maritim M.

Karunanithi dan pegawai-pegawai kanan ESSCom.

Abdul Rashid turut memberi amaran kepada pengusaha pelancongan supaya tidak lagi mengambil pekerja asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen bagi memastikan insiden penculikan tidak berulang di kawasan lain di ESSZone.

Beliau berkata ESSCom memandang serius perkara ini kerana sekurang-kurangnya empat kes penculikan yang berlaku di ESSZone termasuk di Sandakan sebelum ini dipercayai didalangi oleh pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah.  — Bernama

Advertisement