Anda di sini

Mekanik mengaku sebabkan kematian nenek ketahui nasib pada 24 Ogos

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang mekanik menukar pengakuannya kepada bersalah di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, kerana menyebabkan kematian neneknya.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menetapkan pada 24 Ogos depan, sebagai jatuh hukum terhadap Jackley Jamil, 22, yang mana kelmarin adalah sepatutnya untuk perbicaraan.

Penangguhan itu dilakukan sementara menunggu laporan sosial disediakan, memandangkan ketika kejadian tertuduh merupakan pesalah muda.

Tertuduh menyebabkan kematian Lotia Moginas, 69, pada 31 Januari tahun lalu jam 2.

30 pagi, di tepi jalan jambatan gantung, Kampung Bundu Gulu Rungus, Tamparuli.

Atas pertuduhan itu, Jackley didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan itu dikendalikan oleh Timbalan PendakwaRaya Ahmad Nazneen Zulkifli, manakala peguam Hendry Gudid mewakili tertuduh.

Kini tertuduh direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah, sehingga kes berkenaan selesai.

Dalam kes berasingan, seramai 15 lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara antara empat hingga lima bulan serta satu sebatan, selepas mengaku bersalah memasuki negeri ini secara haram.

Mereka yang berusia antara 18 tahun hingga 53 tahun terdiri daripada mekanik, buruh, nelayan dan penganggur didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 18 tahun dan melebihi 50 tahun tidak dikenakan sebatan.

Sementara itu, seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah tinggal di negeri ini melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

Tertuduh yang merupakan pekerja ladang kelapa sawit, didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tempoh lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan semua tertuduh yang tidak diwakili peguam dirujuk ke Jabatan Imigresen, bagi tindakan selanjutnya, selepas menjalani hukuman.

 

Advertisement