Anda di sini

Laluan mendaki Gunung Kinabalu ada perubahan

Advertisement

SekiPENAMPANG: Beberapa laluan mendaki Gunung Kinabalu berkemungkinan ada perubahan selepas kerja pemulihan laluan ke puncak selesai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, perubahan berkenaan disebabkan oleh beberapa laluan yang tidak boleh digunakan dan terpaksa dipindahkan.

“Walaupun ia belum diputuskan sepenuhnya, tetapi saya andaikan laluan untuk mendaki Gunung Kinabalu lebih mencabar selepas ini.

“Bagi laluan dari kawasan Timpohon ke Laban Rata, pemulihan yang dijalankan di beberapa kawasan adalah untuk keselamatan.

“Mungkin ada sesetengah kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh diperbaiki supaya lebih selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perhimpunan dan Sambutan Aidilfitri Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di sini kelmarin.

Menurutnya, kawasan yang banyak terjejas kebanyakannya melibatkan kawasan antara Laban Rata ke puncak dari kilometer 6.3 ke 6.8.

“Kita masih berusaha segigih yang boleh untuk menyiapkan pembaikan laluan dan bila ia boleh digunakan, masih dalam jangkaan pada minggu pertama bulan September.

“Sekiranya ada sebarang perubahan dan ia di luar kawalan kita, Taman-Taman Sabah (TTS) akan memaklumkannya,” jelasnya.

Sabtu ini (8 Ogos), Masidi akan melancarkan pelepasan sekumpulan pendaki dalam bermula dari Timpohon ke Laban Rata.

Beliau berkata, pendakian berkenaan bagi menilai sendiri keadaan laluan yang sudah diperbaiki dan memastikan ia selamat digunakan.

Sementara itu, Pengarah TTS Dr Jamili Nais berkata, selepas 8 Ogos ini, tempahan untuk mendaki akan dibuka kepada orang ramai tetapi hanya untuk pendakian pada waktu siang sahaja.

“Selepas jam 2 petang, di mana juga kedudukan pendaki, mereka perlu turun dan caj akan dikenakan kepada pendaki.

“Bayaran juga bukan sahaja dikenakan untuk pendakian tetapi juga untuk malim gunung yang ditugaskan membawa pendaki,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah bayaran yang dikenakan masih belum dibincangkan dan pihaknya akan menghantar cadangan untuk makluman pihak berkenaan.

 

Advertisement