Anda di sini

Jadikan agenda merakyatkan inovasi jana kekayaan negara

Advertisement

Rakyat Malaysia boleh cipta inovasi bantu capai wawasan negara maju

KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau ingin menjadikan agenda merakyatkan inovasi sebagai realiti dan berupaya menjadi salah satu penjana utama kepada kekayaan serta ekonomi negara dan rakyat.

Tangau berkata selama ini inovasi negara banyak dicipta di dalam makmal oleh para profesor sedangkan rakyat biasa Malaysia juga tidak kurang kemampuannya dalam mencipta inovasi yang boleh membantu Malaysia bagi mencapai wawasan negara menjadi negara maju menjelang tahun 2020.

“Saya diberi amanah untuk melihat satu agenda penting negara iaitu untuk menjana kekayaan negara melalui sains, teknologi dan inovasi.

Dalam hal ini, kalau selama ini agenda inovasi adalah sebagai agenda kerajaan, tetapi selepas ini ia bukan sahaja agenda kerajaan tetapi kita akan jadikan dia sebagai agenda rakyat.

Ini bermakna kita akan mengambil langkah-langkah merakyatkan inovasi, sains dan teknologi.

Dengan cara ini rakyat biasa juga akan memberi sumbangan dalam hal-hal inovasi yang bertujuan menjana kekayaan negara, mempertingkatkan ekonomi untuk mencapai dasar kerajaan dan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi pada tahun 2020,” katanya.

Tangau, yang dilantik menyertai barisan Kabinet Persekutuan dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Selasa lepas, berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini kelmarin.

Ketibaannya kira-kira jam 5 petang itu di sambut oleh pemimpin dan anggota parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

Menurut Tangau agenda merakyatkan inovasi di Malaysia amat penting dan yakin ia mampu dicapai kerana sebelum ini pun seorang rakyat biasa Malaysia yang berasal dari Segamat, Johor, dengan keupayaan inovasinya telah mencipta nama di Taiwan apabila ciptaan ‘pen-drive’nya mendapat sambutan di pasaran.

Tangau berkata idea ciptaan ‘blanko’ atau ‘liquid paper’ yang dimulakan oleh seorang jurutaip dan bukannya seorang profesor juga menunjukkan bahawa rakyat biasa boleh menjadi pelopor dalam menghasilkan inovasi untuk kepentingan masyarakat dan negara.

“Mengapa tidak mengeluarkan ciptaan kita (di negara kita) sendiri.

Ini bererti ada keperluan untuk merakyatkan inovasi supaya rakyat biasa boleh mengeluarkan sesuatu inovasi atau ciptaan berasaskan penyelesaian masalah rakyat yang dihadapi seharian.

Inilah antara amanat yang diberikan kepada saya oleh perdana menteri pagi tadi bahawa agenda inovasi amat penting melibatkan rakyat,” katanya.

Mengenai pelantikannya menyertai Kabinet Persekutuan, Tangau yang juga Pemangku Presiden UPKO mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana memberinya kepercayaan memikul amanah berkenaan serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman atas sokongannya untuk beliau menganggotai kabinet.

Katanya beliau akan melaksanakan tugas berkenaan sebaik-baiknya untuk membantu kerajaan dalam mencapai dasar-dasar yang ditetapkan di bawah kepimpinan Najib serta memperkukuh Kerajaan Barisan Nasional.  — Bernama

Advertisement