Anda di sini

Calon UPSR perlu kurang layari media sosial

Advertisement

LABUAN: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Satu dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti membabitkan media sosial.

Guru Besar SK Pekan Satu Jaafar Matusin berkata, dalam tempoh sebulan ini, murid sewajarnya menumpukan perhatian kepada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bakal dihadapi pada bulan depan.

“Saya mahu murid mengurangkan aktiviti yang membabitkan media sosial seperti melayari Internet, Facebook dan membuang masa menonton televisyen yang tidak memberi manfaat kepada mereka,“ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program interaksi ibu bapa calon 5A UPSR SKPS 2015 pada Selasa lepas, bermula jam 7 malam di Bilik Penataran.

Jaafar mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada ibu bapa kerana sentiasa komited terhadap perkembangan prestasi anak-anak.

Katanya, program itu bertujuan menjelaskan berkaitan perkembangan akademik dan sahsiah murid sasaran 5A pada tahun ini.

Pada program itu, beliau membentangkan status prestasi sasaran yang berlaku sedikit peningkatan berbanding sebelumnya tetapi berharap ibu bapa (14 calon terbabit) mengambil berat kerana mereka sedikit alpa berdasarkan markah pencapaian yang menghampiri A iaitu yang mendapat 70 peratus ke atas.

“Calon yang masih memperoleh C perlu berusaha lagi dan masih belum terlambat untuk berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata, antara halangan dan cabaran ialah kehadiran murid sama ada semasa kelas biasa dan kelas tambahan serta tahap kesedaran murid masih kurang selain perpindahan guru dan guru tahun 6 yang sakit.

Katanya, kesemua faktor berkenaan mengganggu murid dan guru yang mengajar kerana terpaksa menggantikan kelas yang tidak berguru.

Sementara itu, Jaafar berkata pelbagai aktiviti diadakan menjelang UPSR yang diusahakan untuk membantu murid-murid.

Antaranya, klinik UPSR bagi memberi pendedahan teknik menjawab kepada semua calon, peperiksaan dan ujian bagi menguji dan menilai tahap murid.

Selain itu, latih tubi bagi menajamkan kemahiran dan penguasaan murid, motivasi bagi membangkitkan semangat dan menyedarkan tanggungjawab sebagai murid dan anak, solat hajat dan bacaan Yasin bagi pengisian kerohanian.

Jaafar berkata, pihak sekolah itu menyediakan pemakanan sihat seperti kismis yang disumbangkan oleh PIBG SK Pekan Satu dan bapa pelajar.

Beliau mahu calon menjaga pemakanan, kesihatan, solat dan doa manakala ibu bapa membantu anak-anak, melebihkan galakkan secara lembut dan mengurangkan kekasaran.

Seorang guru tahun enam, Rostina Kassim meminta pihak sekolah agar dapat mengadakan sesi interaksi bagi berbincang tentang peningkatan anak-anak mereka di sekolah, berjanji akan menggandakan usaha bagi membantu anaknya membuat persiapan menghadapi UPSR.

Turut hadir, Yang Dipertua PIBG Muslim Mustapa, Penolong Kanan Pentadbiran Norinnie Kassim, Guru Bimbingan dan Kaunseling Mariah Moksin dan guru-guru tahun enam.

 

Advertisement