Anda di sini

Perlu model pendakwaan efektif bagi tragedi MH17

Advertisement

Biarkan pihak bertanggungjawab bebas, satu mesej bahaya

KUALA LUMPUR: Australia menyatakan akan bekerjasama dengan Malaysia dan pihak-pihak lain dalam menyiasat insiden pesawat MH17 ditembak jatuh bagi merumuskan model yang efektif untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

Menteri Luar Australia Julie Bishop berkata membenarkan pihak yang bertanggungjawab terhadap nahas MH17 bebas daripada hukuman akan menghantar mesej bahaya bahawa masyarakat antarabangsa terlalu lemah untuk bersatu dalam menyelesaikan jenayah itu.

“Kita tidak boleh biarkan mereka bebas daripada hukuman sedangkan pesawat komersial itu telah ditembak jatuh ketika melalui ruang udara komersial dengan membawa mangsa-mangsa yang tidak bersalah,” katanya dalam kenyataan pada perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Australia di sini semalam.

Ia merupakan sebahagian daripada siri mesyuarat dianjurkan bersempena berlangsungnya Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan dari 1 hingga 6 Ogos.

Pesawat Boeing 777 milik Malaysia Airlines itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014 mengakibatkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh, termasuk  39 warga Australia dan 43 warga Malaysia.

Rusia menggunakan kuasa vetonya dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas untuk menghalang cadangan lima negara, yang dirintis Malaysia, untuk menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa bagi membicarakan pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17.

Mengenai MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lepas semasa dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur, Bishop berkata ada harapan yang “kami mungkin semakin hampir dapat mencari penyelesaian”.

Pada masa sama, katanya Australia akan terus mengetuai usaha mencari pesawat yang hilang itu di selatan Lautan Hindi.

Satu pasukan Malaysia sedang mengenal pasti sama ada flaperon yang ditemukan baru-baru ini di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah serpihan daripada MH370.

Serpihan itu telah dibawa ke Toulouse, Perancis untuk proses dikenal pasti. — Bernama

Advertisement