Anda di sini

Pelantikan Syed Abas satu keputusan tepat

Advertisement

KOTA KINABALU: Pelantikan Datuk Syed Abas Syed Ali sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baharu adalah satu keputusan yang tepat.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pelantikan itu adalah pilihan yang terbaik memandangkan Syed Abas turut berpengalaman luas selain berkelayakan secara akademik.

“Saya melihat Ketua Menteri (Datuk Seri Panglima Musa Aman) telah memilih calon yang terbaik untuk mengambil alih tugas ini.

“Malah saya juga tidak terkejut dengan pelantikan ini tetapi sudah menjangkakan bahawa beliau (Syed Abas) akan terpilih menjawat Speaker DUN yang baharu di negeri ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama TYT, kelmarin.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid turut mengalu-alukan pelantikan Syed Abas.

“Kita mengalu-alukan pelantikan beliau sebagai speaker yang baharu kerana bukan sahaja berpengalaman tetapi pernah menjawat beberapa jawatan termasuk pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (Muis).

“Malah saya juga lihat dia juga sangat lantang dalam beberapa isu termasuk yang melibatkan isu wanita… jadi kita berharap ini akan memberikan nafas baharu kepada DUN dalam penumpuan beberapa isu yang dibangkitkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Speaker DUN Datuk Johnny Mositun berkata keputusan pelantikan itu bukan mudah walaupun pelbagai pendapat yang diberikan.

“Dalam kerajaan, saya rasa sistem pelantikan itu adalah yang terbaik dan kerajaan telah pun memikirkan bahawa pelantikan itu amat sesuai sekali.

“Saya juga berpendapat Syed Abas juga adalah seorang yang berpengalaman dalam politik kerana jawatan speaker ini adalah jawatan yang boleh dikatakan satu jawatan politik.

“Jadi beliau memang layak untuk menjawat jawatan yang telah diamanatkan oleh ketua menteri,” katanya.

Terdahulu, pelantikan Syed Abas sebagai speaker kesembilan telah diumumkan oleh Musa dalam kenyataannya pada Isnin lalu dan dijangka akan menjalankan tugas sebagai speaker pada 7 Ogos ini.

Musa berkata, Syed Abas bukan sahaja mempunyai pengalaman luas dalam politik dan kerajaan tetapi turut menyandang beberapa jawatan penting dalam agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Syed Abas dilahirkan pada 12 Oktober 1947 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Applied Economics dari East London University (NELP) dan menyandang jawatan pengerusi Warisan Harta Sabah Sdn Bhd.

Beliau dipilih sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Balung pada 1978 sehingga 1981 di bawah pentadbiran Berjaya dan pada 2004 sehingga sekarang di bawah tiket UMNO.

Syed memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam pada 1976 sebagai Pegawai Pembangunan Perindustrian di Kementerian Pembangunan Perindustrian.

Selain itu, beliau juga menyandang jawatan yang berbeza atas pelbagai kapasiti, antara lain sebagai pengerusi Ko-Nelayan, pengarah Sabah Finance Berhad dan pengerusi MUIS.

Syed Abas telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Nuraini Habib Kadir dan pasangan itu dikurniakan enam orang anak.

 

 

 

 

 

Advertisement