Anda di sini

Pelan tindakan lima tahun akan terus kukuhkan hubungan ASEAN-Korea

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perkongsian Strategik mengenai Keamanan dan Keselamatan ASEAN-Korea Selatan (2016-2020) yang diterima pakai kelmarin, bakal mengukuhkan hubungan antara 10 blok negara anggota dengan Korea Selatan, yang diberikan status rakan dialog penuh pada 1991.

Menteri Luar Korea Selatan Yun Byung-se menyifatkan pelan tindakan lima tahun itu sebagai amat penting yang menggariskan rangka kerja dan langkah-langkah kerjasama komprehensif dalam sektor ekonomi, sosial dan budaya, politik dan urusan keselamatan.

“Semalam (kelmarin, kami menerima pakai pelan tindakan. Kami amat komited untuk bersama-sama bergerak ke hadapan,” katanya selepas mesyuarat dua hala ASEAN-Korea Selatan yang diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.

Katanya, Korea Selatan juga menyokong penuh matlamat ASEAN untuk mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini serta menyumbang kepada Visi ASEAN Pasca 2015.

Menurut laman web rasmi ASEAN, Pelan Tindakan 2016-2020 itu akan mengutamakan program yang memberi impak kepada seluruh rantau ini seperti kerjasama pembangunan, merapatkan jurang pembangunan dan meningkatkan kesalinghubungan serantau. — Bernama

Advertisement