Anda di sini

Niosh Sabah berada di landasan tepat

Advertisement

KOTA KINABALU: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Sabah berada di landasan tepat untuk menarik lebih ramai rakan industri menyertai seminar atau kursus yang dianjurkan di negeri ini menerusi Pejabat Wilayah yang baharu dan akan beroperasi pada 1 September depan.

Pengurus NIOSH Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Mohd Hussin Abdul Salam berkata, pihaknya optimis mekanisme itu akan tercapai selepas Pejabat Wilayah NIOSH Sabah yang sebelum ini berpangkalan di Wisma PERKESO Tanjung Aru akan meneruskan peranannya di pejabat baharu yang terletak di Harbour City, Jalan Coastal Kota Kinabalu.

“Setakat ini, kita sudah berjaya menarik lebih 5,000 orang yang menyertai kira-kira 415 seminar atau kursus dianjurkan oleh NIOSH Sabah.

“Pejabat Wilayah Sabah secara rasminya akan berpindah ke lokasi baharu di Harbour City selewat-lewatnya pada 1 September hadapan dan simbolik perasmian dijangka akan dilakukan oleh Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye,” katanya pada sidang media sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2015 NIOSH Wilayah Sabah, di sini kelmarin.

Hussin berkata, dengan adanya mekanisme baharu itu, pihaknya yakin akan lebih banyak penyertaan terdiri kalangan rakan industri bagi menyertai kursus-kursus yang dianjurkan.

Katanya, selain pejabat baharu, NIOSH Wilayah turut menawarkan perkhidmatan kursus stimulasi secara mudah alih di Kota Kinabalu dan Sandakan yang sudah giat dilaksanakan pada tahun ini.

“Perkhidmatan stimulasi berkenaan adalah kali pertama diadakan di Sabah kerana sebelum ini kita banyak menerima aduan dari kalangan rakan industri tidak memahami prosedur operasi standard (SOP) atau apa maksud yang ingin disampaikan dengan alasan tidak mempunyai stimulasi yang sebenar.

“Stimulasi terbabit juga berbentuk ‘mobile’ dengan kita sendiri akan datang ke lokasi rakan industri itu sendiri bagi menyampaikan perkhidmatan, oleh itu selepas ini, mereka tidak mempunyai alasan lagi,” katanya.

Advertisement