Anda di sini

Elak ketirisan dalam urus tadbir kewangan

Advertisement

Syarikat atau agensi kerajaan negeri jangan salah guna kuasa dalam menjaga dana, sumber

KOTA KINABALU: Syarikat atau agensi kerajaan negeri yang mempunyai sumber kewangan yang banyak diingatkan supaya mengurus tadbir kewangan tanpa ada ketirisan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata, jangan ada pihak yang salah guna kuasa dalam menjaga dana dan sumber kewangan syarikat.

“Kewangan yang banyak juga mampu mendatangkan permasalahan kepada syarikat jika ia tidak diuruskan dengan penuh amanah dan jujur.

“Ia perlu dijaga kerana wang berkenaan bukanlah wang kita, tetapi ia adalah wang kerajaan dan wang rakyat.

“Justeru, gunakan akal fikiran yang waras untuk pastikan tiada ketirisan dalam mentadbir urusan kewangan syarikat atau agensi masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri Sabah 2015, di sini kelmarin.

Musa berkata, pemegang amanah sepatutnya tidak mudah alpa dan leka apabila melihat kewangan yang banyak hingga timbul bermacam-macam idea yang mendatangkan masalah kepada syarikat.

Menurutnya, ada pihak yang menyalah guna kewangan syarikat dengan berbelanja atau melabur ke atas perkara yang tidak sepatutnya semata-mata untuk mengaut keuntungan dan kepentingan sendiri.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap pengerusi badan berkanun, agensi atau syarikat supaya jangan sekali-kali salah guna kuasa dalam menjalankan tugasan dan amanah masing-masing.

Advertisement