Anda di sini

48 negara Asia Pasifik sokong Malaysia duduki kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia yakin akan mendapat sokongan daripada 48 buah negara Asia Pasifik bagi menduduki kerusi Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata Malaysia telah berusaha sejak tahun lalu untuk menduduki kerusi tersebut bagi memainkan peranan lebih besar dalam mentransformasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke peringkat global.

“Kita telah berusaha secara berterusan untuk menduduki kerusi itu yang akan memberikan satu kekuatan kepada kita untuk membawa perubahan dalam bidang pendidikan terutama dalam bidang TVET,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan penutup Persidangan Asia Pasifik mengenai Pendidikan dan Latihan (ACET) 2015 di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Yap berkata kini masanya bagi Malaysia menentukan bahawa TVET turut sama dihargai sebagai laluan untuk kejayaan kerjaya.

“Untuk mencpai matalamat itu, kementerian akan memperhebat penglibatan dan perkongsian industri itu, menyelaras kelayakan, menambahbaik koordinasi di kalangan pembekal TVET kementerian dan memperkasa usaha penjenamaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai usaha Malaysia menduduki kerusi Ahli Lembaga Eksekutif UNESCO, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata salah satu langkah yang diusahakan adalah melalui penganjuran ACET ini.

“Salah satu kejayaan yang negara nak pamerkan adalah melalui conference ini, memang menunjukkan bahawa Malaysia bersama dengan UNESCO dan semua 48 negara Asia-Pasifik ini telah memberikan keutamaan kepada TVET,” katanya.

Katanya, hasil daripada persidangan ini, Malaysia telah mengemukakan Deklarasi Kuala Lumpur sebagai rangka untuk menjayakan langkah seterusnya ke arah menduduki kerusi Ahli Lembaga Eksekutif pertubuhan itu.

Pengundian bagi mengisi kerusi itu akan dilakukan pada Persidangan Agung UNESCO, November ini.

“Kita bertanding untuk menduduki kerusi itu bagi tempoh 2015 hingga 2019, mewakili negara-negara Asia Pasifik,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan. — Bernama

Advertisement