Anda di sini

SPRM buat solat hajat perdana mohon yang terbaik

Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengadakan solat hajat perdana ‘Untukmu SPRM’ di seluruh negara bagi memohon badan itu dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik.

Solat hajat di surau ibu pejabat SPRM di sini diadakan selepas solat Zohor yang diimamkan oleh bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Seri Zakaria Jaffar dan disertai kira-kira 100 warga kerjanya.

Zakaria berkata solat hajat itu diadakan bagi memohon supaya badan itu dikurniakan petunjuk serta takdir yang terbaik dalam membanteras rasuah.

“Kita minta supaya Allah SWT bantu kita apa yang kita tidak tahu di masa akan datang. Kita juga memanjatkan doa supaya SPRM, semua pegawai serta keluarga mereka diberi kebaikan oleh Allah SWT,” katanya kepada pemberita selepas solat hajat itu.

Selepas solat, Zakaria membacakan doa mathurat yang dipenuhi dengan kata-kata membesarkan Allah, merendahkan hati serta meminta agar warganya dijauhi dari tergolong dalam kalangan mereka yang memberi dan menerima rasuah.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Datuk Mohamad Jamidan Abdullah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Mustafar Ali dan Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Azam Baki. — Bernama

 

Advertisement