Anda di sini

Polis tahan tiga lelaki terbabit dalam kes samun

Advertisement

SEREMBAN: Polis Seremban menahan tiga lelaki ketika memunggah barang dari rumah yang dipecah masuk oleh mereka di kawasan perumahan Seremban 3, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata tangkapan dibuat kurang 10 minit selepas pihaknya menerima panggilan orang awam.

“Ketika ditahan, dua suspek sedang memunggah barang dari rumah terbabit ke dalam kereta yang dinaiki mereka, manakala seorang lagi suspek cuba melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Myvi kepunyaan mangsa.

“Polis berjaya menahan suspek ketiga kira-kira 200 meter dari tempat kejadian,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata dalam kejadian itu mangsa iaitu seorang wanita berusia 19 tahun yang tinggal seorang diri dipercayai telah diugut suspek dengan menggunakan parang dan polis juga percaya suspek telah melakukan pencabulan terhadap mangsa.

Muhamad Zaki berkata kesemua suspek yang berusia antara 20 dan 33 tahun tidak bekerja dan telah cuba memecah masuk dua rumah lagi di kawasan tersebut sebelum memasuki rumah ketiga pada hari yang sama.

Hasil soal siasat, kumpulan itu mengaku tetapi polis masih lagi menjalankan siasatan ke atas cap jari yang dijumpai di dua rumah tersebut.

Muhamad Zaki berkata dua daripada suspek itu juga mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan kes pecah rumah, samun dan undang-undang pencegahan manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod jenayah.

“Antara barang yang dirampas ialah lima telefon bimbit, dua komputer riba, television, iPad, kamera, wang tunai RM250 dan parang yang dipercayai digunakan sebagai senjata,” katanya.

Muhamad Zaki berkata pihaknya masih mengesan saki-baki ahli kumpulan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun secara berkumpulan dan bersenjata. — Bernama

 

Advertisement