Anda di sini

Polis perluas kawasan buru banduan lari

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis memperluaskan kawasan bagi memburu seorang banduan lelaki yang melarikan diri ketika mendapat rawatan kesihatan di Hospital Selayang, petang kelmarin, ke seluruh Lembah Klang.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad ketika dihubungi Bernama berkata polis telah menggerakkan semua elemen kepolisan yang ada termasuk Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di sekitar Lembah Klang bagi mengesan banduan yang dikenali sebagai Kalaivanan Muniandy, 33 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek boleh menghubungi balai polis berdekatan dan saya percaya bahawa dia masih berada dalam kawasan berdekatan kerana tidak mampu bergerak jauh,” katanya.

Beliau berkata ketika melarikan diri, suspek memakai baju biasa dan seluar penjara.

Suspek yang mendapat rawatan kerana sakit perut melarikan diri daripada kawalan warden penjara kira-kira jam 2.40 petang kelmarin.

Katanya polis telah melakukan soal siasat terhadap keluarga suspek kelmarin namun suspek masih gagal dikesan.

“Kita juga ada menghubungi pihak Penjara Kajang namun masih belum mendapat maklum balas daripada mereka,” katanya.

Ali berkata suspek sedang menjalani hukuman penjara setahun di Penjara Kajang atas kesalahan mencuri kenderaan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan tidak diklasifikasikan sebagai banduan berbahaya. — Bernama

 

Advertisement