Anda di sini

Pengasas The Sarawak Report kena waran tangkap

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperoleh waran tangkap daripada Mahkamah Kuala Lumpur terhadap pengasas dan editor The Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

Pengarah Jabatan Sisatan Jenayah Datuk Seri Mohmad Salleh berkata waran itu yang diperoleh semalam adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Jenayah.

“Kita akan meneruskan permohonan untuk menyenaraikannya dalam senarai dikehendaki Aseanpol dan Notis Merah Interpol,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Laporan polis dibuat baru-baru ini dengan mendakwa The Sarawak Report telah memalsukan maklumat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Susulan itu PDRM menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat laporan tersebut.

Polis Thailand telah menahan Xavier Andre Justo pada 22 Jun atas tuduhan memeras ugut PetroSaudi International, syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi yang mempunyai kaitan dengan kontroversi yang menyelubungi 1MDB.

Berikutan dakwaan penjualan dokumen, beberapa e-mel dan dokumen diterbitkan portal berita The Sarawak Report yang membawa kepada dakwaan terhadap 1MDB.

Pada 19 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat laman web The Sarawak Report yang didakwa mengancam keselamatan negara, berikutan maklumat dan aduan orang ramai bahawa kandungan laman web tersebut belum disahkan dan masih disiasat. — Bernama

Advertisement