Guna saluran sah dalam proses mengambil anak angkat
KUALA LUMPUR: Pendekatan mengurangkan birokrasi dan memberi penerangan kaedah sebenar pengambilan anak angkat boleh membantu mengurangkan kes penjualan bayi di negara ini.
Exco Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid berkata kepada Bernama langkah itu boleh mengurangkan permintaan terhadap bayi untuk dibeli.
“Selagi wujudnya permintaan dalam konsep perniagaan iaitu, selagi itulah adanya penawaran, maka masalah ini tidak akan selesai kerana ia membabitkan urus niaga puluhan ribu ringgit,” katanya.
Beliau mengulas kejayaan polis menyelamatkan 21 wanita mengandung dan seorang bayi wanita daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia dengan tertangkapnya tiga wanita berusia, yang dipercayai menjadi dalang sindiket berkenaan di Rawang, kelmarin.
“Apa yang perlu dilakukan ialah memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya ibu bapa angkat agar guna saluran sah dalam aspek undang-undang dan proses mengambil anak angkat agar tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya.
Faridah berkata kebanyakan ibu bapa angkat yang beliau jumpa tidak mengetahui tahu tindakan yang mereka ambil salah dari segi undang-undang.
“Dalam perkara ini kita tidak hanya boleh salahkan keluarga angkat sahaja kerana ada ibu bapa angkat yang saya jumpa terpaksa guna saluran tidak sah bagi mendapatkan anak angkat kerana tidak sanggup melalui prosedur permohonan anak angkat yang rumit,” katanya.
Beliau yakin Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sahaja tidak mencukupi untuk membendung aktiviti jenayah itu, malah masyarakat juga perlu memainkan peranan membanteras kegiatan itu daripada meletakkan tanggungjawab pada pihak berkuasa.
Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Prof Datuk Seri Dr Shaharuddin Awang Yahya berkata masalah berkenaan hanya dapat dikurangkan jika hukuman lebih berat terhadap kesalahan itu dikenakan.
“Mengikut undang-undang yang sedia ada mereka yang terlibat dalam aktiviti urus niaga pemerdagangan manusia boleh dikenakan tindakan penjara kurang 15 tahun dan denda…bagi saya hukuman yang dikenakan tidak cukup tegas untuk menakutkan mereka,” katanya.
Beliau mencadangkan hukuman yang lebih berat seperti hukuman rotan mampu memberi kesan yang lebih mendalam.
Shaharuddin berkata apa yang menjadi kerisauannya ialah nasib bayi yang dilahirkan oleh ibu beragama Islam dijual kepada penjaga bukan beragama Islam. — Bernama