Anda di sini

Wanita maut digilis lori selepas jatuh motosikal

Advertisement

JOHOR BAHARU: Seorang wanita maut digilis lori bermuatan kelapa sawit setelah terjatuh daripada motosikal ditungganginya dalam kejadian di Km112.5 Jalan Yong Peng-Labis, dekat Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Din Ahmad berkata kejadian di hadapan bangunan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari dan menyebabkan How Moi Hua, 64, berasal dari Jalan Ujong, Yong Peng, maut di tempat kejadian.

“How dipercayai cuba menyeberang jalan terbabit sebelum terlanggar bahagian kanan lori dari arah Yong Peng ke Labis itu ketika sampai di tengah-tengah jalan.

“Dia kemudian terjatuh di atas jalan lalu digilis tayar sebelah kanan lori yang dipandu seorang lelaki berumur 50 tahun tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Difahamkan, How mengalami cedera parah di kepala, anggota badan serta putus tangan kanan dan mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, untuk bedah siasat.

Din berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Bernama

Advertisement