Anda di sini

Tukang urut dipenjara tiga bulan curi telefon bimbit

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang tukang urut selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit Jumaat lepas.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap Cheah Kok Keong, 37, kerana mencuri telefon bimbit bernilai RM2,099 milik eksekutif pemasaran, Nur Hadzwani Hamdan, 24, di Pasaraya Tesco Scott Garden, Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada jam 12.45 tengah hari, Jumaat lepas.

Mahkamah memerintahkan dia menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh ditangkap pada 31 Julai lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminjam telefon bimbit mangsa untuk membuat panggilan kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri sebelum bertindak melarikan diri menaiki teksi.

Berikutan itu, mangsa meminta pertolongan pengawal keselamatan di situ dan tertuduh kemudiannya berjaya ditangkap.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohamad Yusoff memohon hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun dia yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan isterinya menghidap kencing manis dan tidak bekerja.

“Saya minta maaf, saya tidak ada wang, saya janji tidak akan ulangi lagi kesalahan ini,” kata bapa kepada seorang anak sambil menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.

Di mahkamah sama, seorang penghantar surat didenda RM2,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pengawal keselamatan menggunakan topi keledar, minggu lepas.

Ashraf Rezal menjatuhkan hukuman itu terhadap I. Sooriyahprakaash, 20, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Sooriyahprakaash didakwa bersama-sama enam lagi yang masih bebas kerana mendatangkan kecederaan terhadap Barinder Singh, 40-an, lelaki warga Nepal dengan menggunakan topi keledar di Jalan Ipoh Batu 4 1/2, Sentul di sini pada 29 Julai lepas. — Bernama

Advertisement