Anda di sini

SPRM: RM2.6 billion sumbangan penderma, bukan wang 1MDB

Advertisement

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati dana berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma dan bukan daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan siasatan itu telah dirujuk dan dimaklumkan kepada Peguam Negara, kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan semalam.

SPRM menjelaskan bahawa semasa Pasukan Petugas Khas ditubuhkan, siasatannya hanya memfokus terhadap isu berkaitan SRC International dan kemasukan dana sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun Perdana Menteri.

Sementara itu, katanya Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan berkaitan 1MDB manakala Bank Negara pula menjalankan siasatan berkaitan kaedah tatacara kewangan.

Dalam kenyataan itu, SPRM bagaimanapun menegaskan bahawa ia masih meneruskan siasatan tentang isu SRC International yang melibatkan dana RM4 bilion.

Ia memberi jaminan untuk menjalankan siasatan yang bebas, telus dan profesional, tanpa ‘fear or favour’ (tanpa rasa gentar atau memihak) dan tanpa mengira siapa yang terlibat, sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah suruhanjaya yang bebas.

“SPRM tidak akan membiarkan mana-mana pihak mempengaruhi atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,” kata badan itu sambil menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan itu selesai.

Ia turut menegaskan sekali lagi bahawa tidak ada pegawai SPRM terlibat dalam konspirasi mahu menjatuhkan kerajaan dan tindakan yang diambil suruhanjaya itu adalah semata-mata bagi menjalankan tugas dan fungsinya sebagai sebuah badan yang bebas.

“Tanggungjawab SPRM adalah menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah dan bukannya bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak termasuk kerajaan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan itu.

Mengenai siasatan polis ke atas para pegawainya, SPRM berkata ia akan memberi kerjasama sepenuhnya. — Bernama

Advertisement