Anda di sini

Prosiding kes BAFIA Rafizi ditangguh

Advertisement

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan penangguhan prosiding perbicaraan kes Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang menghadapi tuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata permohonan rayuan yang dikemukakan Mohd Rafizi untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi perlu didengari terlebih dahulu sebelum perbicaraan dilakukan.

“Maka adalah wajar rayuan yang dikemukakan didengari terlebih dahulu kerana isu yang dibangkitkan adalah hak pemohon dan ia mempunyai asas.

“Prosiding di Mahkamah Sesyen perlu ditangguhkan sehingga kes di peringkat rayuan dilupuskan,” katanya.

Pada 19 Jun lepas, Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonan Ahli  Parlimen Pandan itu untuk merujuk ke Mahkamah Tinggi tiga persoalan perlembagaan berhubung pertuduhan yang dihadapinya di bawah BAFIA.

Hakim Mahkamah Sesyen Zamri Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati tiga persoalan berkenaan dibangkitkan sendiri oleh Mohd Rafizi dan bukan oleh mahkamah atau pihak pendakwaan.

Satu daripada persoalan itu adalah sama ada dakwaan terhadap Mohd Rafizi dan Johari boleh diteruskan walaupun BAFIA telah dimansuhkan dua tahun lepas.

BAFIA digantikan dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Mahkamah seterusnya menetapkan tarikh perbicaraan pada 10, 11, 12 dan 20 Ogos, 30 Sept, 1 dan 2 Okt ini.

Mohd Rafizi memfailkan permohonan mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bersama-sama kerani bank Johari Mohamad, yang diwakili peguam Latheefa Koya.

Satu lagi persoalan adalah sama ada dakwaan di bawah BAFIA itu tidak berperlembagaan memandangkan unsur niat tidak dinyatakan sebagai elemen bagi kesalahan di bawah akta itu.

Permohonan juga dibuat atas persoalan sama ada Seksyen 87 (2) BAFIA boleh menyebabkan individu bersalah kerana menjawab sebarang soalan yang diajukan kepadanya.

Mohd Rafizi, 38, mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Johari, 44, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Beliau didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazrul Nizam Mohd Zameri. — Bernama

Advertisement