Anda di sini

Polis Terenganu kemuka cadangan banteras kegiatan mat rempit

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu akan mengemukakan beberapa cadangan dan usul berbentuk program advokasi kepada kerajaan negeri dalam usaha membanteras dan mengekang aktiviti merempit dan perlumbaan motosikal haram di negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata antara usul yang bakal dikemukakan dalam masa terdekat ialah menganjurkan program pendidikan, ceramah, pameran serta taklimat berhubung kesan serta akibat daripada menyertai aktiviti tidak berfaedah tersebut.

“Menerusi program pendidikan itu, kita akan menjelajah ke seluruh daerah dan bekerjasama dengan Persatuan Belia serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada para belia dan remaja.

“Program ini dirancang secara berperingkat dan buat permulaan kita bercadang untuk laksanakan sebanyak dua kali sebulan. Malah kita juga akan memberi kesedaran bersabit kesalahan dan akibat yang terpaksa ditanggung jika berlaku kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas Program Kepolisan Masyarakat, di Batu Burok di sini semalam.

Menurutnya pihak polis juga akan meminta kerajaan negeri membantu untuk membeli peralatan terkini dan kamera yang canggih bagi merakam aksi mat rempit, rupa paras serta mengecam nombor pendaftaran mereka.

Rosli berkata menerusi imej yang dirakam itu dapat dijadikan bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka serta membuat tindakan susulan untuk melakukan tangkapan.

“Kita tidak mempunyai kamera yang canggih dan berkeupayaan untuk merakam aksi mereka sedangkan imej itu penting bagi kita sebagai bukti untuk tindakan lanjut… kamera tersebut kita akan bawa ketika operasi setelah menerima maklumat berhubung kegiatan itu,” katanya.

Selain itu, katanya pihaknya juga berharap kerajaan negeri dapat menambah beberapa lori dan trak yang sesuai bagi mengangkut motosikal pesalah rempit ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi mencari alternatif yang lebih berkesan membanteras kegiatan ini.

Justeru, katanya pihak polis bersama agensi terlibat akan melakukan kajian selama tiga bulan bagi mengetahui impak menerusi program yang dilaksanakan bagi menambahkan baik langkah pencegahan tersebut. — Bernama

Advertisement