Anda di sini

MAPIM harap isu pelarian Rohingya dibincangkan pada ARF

Advertisement

ALOR SETAR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berharap Malaysia menggunakan platform Forum Serantau ASEAN (ARF) bagi membincangkan isu pelarian etnik Rohingya dari Myanmar.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata isu tersebut perlu dibincangkan dalam forum tersebut agar semua negara anggota ASEAN termasuk kerajaan Myanmar dapat menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata ini berikutan etnik Rohingya yang ditemui di negara ini memberi gambaran bahawa masyarakat itu akan keluar dari negara mereka untuk mendapatkan perlindungan di negara lain seperti Malaysia dan Indonesia.

“Ini disebabkan etnik Rohinga sudah tidak tahan ditindas oleh kerajaan mereka sendiri yang tidak mengiktiraf hak mereka sebagai warganegara yang sah.

“Jika kerajaan Myanmar iktiraf etnik tersebut masalah itu akan selesai dan mereka dapat pulang ke negara asal mereka untuk meneruskan kehidupan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pusat Pembelajaran Baitul Rahmah Rohingya di Bangunan Wakaf Masjid Halim Shah di Seberang Pantai Johor di sini semalam.

Sesi pleno ARF yang ke-22 akan berlangsung pada Khamis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48. Malaysia merupakan pengerusi ASEAN bagi 2015.

Mohd Azmi berkata MAPIM juga sentiasa mengirimkan surat kepada Presiden Myanmar, Thein Sein berhubung isu tersebut serta mengadakan dialog antara agama di Yangon untuk memberi pemahaman agar tidak terus menindas etnik Islam Rohingya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan perlu memberi kad pengenalan sementara kepada etnik Rohinga yang menjadi pelarian di negara ini agar anak-anak mereka boleh mendapatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Katanya ketika ini kira-kira 8,000 kanak-kanak Rohingya berada di negeri ini dan mereka perlu mendapat pendidikan terutamanya pendidikan agama agar mereka tidak terjebak dalam masalah sosial di negara ini.

Katanya setakat ini terdapat sebanyak 156 pelajar Rohingya di pusat pengajian di Sungai Petani dan di Alor Setar dan dana untuk kedua-dua sekolah itu disumbangkan oleh syarikat korporat dan orang ramai manakala sebuah lagi pusat pengajian akan dibuka di Ipoh, Perak pada Oktober ini.

Mohd Azmi berkata pihaknya juga telah memohon peruntukan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Baitulmal, Jabatan Zakat dan kerajaan negeri untuk membiayai kos operasi setiap pusat pengajian itu yang menelan belanja hampir RM10,000 setiap bulan.

ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. — Bernama

Advertisement