Anda di sini

Kugan: Mahkamah beri kebenaran kepada polis, kerajaan fail rayuan

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam memberi kebenaran kepada polis dan kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan memberi ganti rugi kepada ibu seorang suspek kes curi kereta mewah A. Kugan, yang mati semasa dalam tahanan polis.

Kebenaran diberikan kepada Tan Sri Khalid Abu Bakar – selaku bekas Ketua Polis Selangor dan Ketua Polis Negara sekarang – bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya Assisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar (sudah meninggal), dan kerajaan.

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, yang mengetuai panel tiga hakim memberi kebenaran untuk membuat rayuan atas tiga persoalan undang-undang yang akan dibincangkan dan ditetapkan oleh mahkamah.

Persoalan pertama ialah sama ada Seksyen 8(2) Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67) yang melarang pemberian ganti rugi teladan dalam tuntutan harta pusaka adalah terpakai apabila kematian si mati adalah akibat perlanggaran hak dari segi perlembagaan untuk hidup.

Persoalan kedua, atas tujuan tuntutan harta pusaka di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan, ialah sama ada perbuatan yang terkandung dalam salah laku “misfeasans” umum mestilah perbuatan yang berlaku sebelum kematian si mati.

Persoalan ketiga ialah sama ada award berasingan untuk “misfeasans umum boleh dibuat atas nama harta pusaka apabila kecederaan kepada si mati adalah kecederaan sebenar yang award bagi serangan dan pukulan sudahpun diputuskan yang memihak kepada harta pusaka.

Pada 8 Ogos tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati pihak polis, bekas konstabel polis V. Navindran dan kerajaan bertanggungjawab terhadap kematian Kugan semasa dalam tahanan polis pada Januari 2009.

Bagaimanapun, dalam keputusan sebulat suara, barisan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengurangkan jumlah ganti rugi  daripada RM801,700 kepada RM701,700 selepas mengetepikan RM100,000 sebagai ganti rugi bagi penahanan salah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 2013.

Pada 13 Jan, 2012, ibu Kugan N. Indra, 48, memfailkan saman RM100 juta menuntut ganti rugi kerana mendakwa kecuaian, serangan, penahanan salah dan  misfeasans umum serta melanggar tanggungjawab statutori.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam mewakili Navindran, R.Ramesh Sivakumar memohon untuk menarik balik permohonan anak guamnya bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan atas liabiliti dan ia ditolak mahkamah dengan kos.

Navindran, 35, akan menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan kerana menyebabkan kecederaan kepada Kugan ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 22 Mei. — Bernama

Advertisement