Anda di sini

Keselamatan maritim kekal jadi kebimbangan sejagat

Advertisement

KUALA LUMPUR: India mengharapkan isu keselamatan maritim di Laut China Selatan yang merupakan laluan penting bagi perdagangan antarabangsa, diberi tumpuan utama pada perbincangan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan.

Setiausaha Hal Ehwal Luar India (Timur) Anil Wadhwa berkata memandangkan kira-kira 90 peratus perdagangan antarabangsa adalah melalui laluan laut dan 50 peratus perdagangan maritim global menerusi Laut China Selatan, keadaan keselamatan maritim yang kompleks dan sentiasa berubah di Laut China Selatan kekal menjadi kebimbangan sejagat.

Selaras itu, beliau berkata Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) adalah forum serantau penting bagi membincangkan isu-isu keselamatan dalam keadaan dunia khususnya rantau Asia Timur yang bergelut dengan cabaran seperti keganasan, lanun, penyeludupan senjata dan pemerdagangan manusia.

“Ini cabaran merentas sempadan, dan justeru itu memerlukan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa,” kata Anil kepada Bernama menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang dihoskan Malaysia dari 1 hingga 6 Ogos di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Sambil menyatakan India menyokong kebebasan navigasi di perairan antarabangsa termasuk di Laut China Selatan, hak menggunakan laluan kapal dan ruang udara serta akses kepada sumber-sumber mengikut prinsip undang-undang antarabangsa, India yang merupakan rakan dialog penuh ASEAN sejak 1995, menjangkakan isu keselamatan menjadi topik penting semasa mesyuarat di sini.

Menyentuh mengenai pertikaian di Laut China Selatan, Anil berharap semua pihak berkaitan akan mematuhi Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan dan bekerjasama untuk memastikan dapat mencapai penyelesaian secara aman.

Pertikaian itu semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Filipina di barisan hadapan, mendakwa China ‘membuli’ apabila dengan tegas menuntut perairan itu yang merupakan laluan laut dan kawasan perikanan penting serta dipercayai mempunyai sumberi galian yang banyak.

ASEAN yang terdiri dari Indonesia, Kemboja, Laos, Myanmar, Singapura dan Thailand, telah mendesak untuk penubuhan Kod Etika dengan China yang akan mengikat pihak-pihak yang menuntut supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mencetuskan konflik di rantau ini.

“Kami juga sentiasa menyokong usaha untuk penyelesaian awal Kod Etika di Laut China Selatan itu melalui kata sepakat,” katanya. — Bernama

Advertisement