Anda di sini

Hubungan dengan kerajaan negeri, negara serantau akan dipererat

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memperatkan kerjasama dengan kesemua kerajaan negeri dan negara serantau bagi memastikan usaha pemeliharaan sumber asli dan alam sekitar dapat dipertingkatkan.

Menterinya yang baharu Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata banyak perkara berhubung alam sekitar dan sumber asli akan disemak semula dan dirancang, dengan turut membabitkan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.

Beliau berkata kementerian juga akan memperatkan hubungan dengan negara serantau terutama Indonesia dalam menangani masalah jerebu yang sering dialami Malaysia disebabkan oleh pembakaran hutan di negara berkenaan.

“Selain penguatkuasaan dari dalam negara sendiri, kita juga mahu kerjasama dari negara luar untuk membendung kegiatan pembakaran terbuka yang biasanya membawa kepada masalah jerebu,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani nota serah tugas di kementeriannya di sini semalam.

Wan Junaidi dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baharu, menggantikan Datuk Seri G. Palanivel dalam rombakan kabinet pada 28 Julai lepas.

Katanya, beliau memahami walaupun dari segi kos untuk membersihkan hutan dengan cara pembakaran adalah satu pertiga lebih murah berbanding kaedah konvesional, isu keselamatan dan kesihatan serantau perlu dipelihara.

“Pengurusan alam sekitar dan sumber asli adalah penting terutamanya ketika dunia mengalami perubahan suhu dan cuaca, dan untuk itu kementerian mahu memberi fokus dari sudut pencegahan dan pemuliharaan.

“Kita seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah di England bila mana mereka menghadapi situasi alam sekitar yang amat teruk khususnya di London apabila ketika mengalami revolusi perindustrian dan ia melibatkan kos yang tinggi untuk pemulihan.

“Pada saya alam sekitar adalah mengenai perkara untuk masa hadapan yang harus bermula hari ini (semalam) dan amat penting bagi kita memberi tumpuan dalam pembangunan mampan yang melibatkan pengurusan sumber asli dan alam sekitar,” kata Wan Junaidi. — Bernama

Advertisement