Anda di sini

Aktivis mohon semak perintah reman majistret

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga aktivis semalam memfailkan permohonan untuk menyemak perintah tahanan reman yang dikeluarkan majistret terhadap mereka berhubung perhimpunan haram, Sabtu lepas.

Adam Adli Abdul Halim, 26, Ahmad Syukri Ab Razab, 30, dan Mandeep Singh, 29, memfailkan permohonan itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam Michelle Yesudas.

Dalam permohonan itu, mereka mendakwa perintah reman yang dikeluarkan Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan adalah tidak berasas dan salah di sisi undang-undang atas alasan mereka tidak menghadiri perhimpunan itu yang diadakan 1 Ogos, sedangkan mereka ditangkap sehari awal iaitu 31 Julai.

Mereka direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Ketiga-tiga aktivis itu berkata Ashraf membenarkan permohonan pihak polis mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari masing-masing terhadap Adam Adli dan Ahmad Syukri dan empat hari kepada Mandeep, bermula 1 Ogos lepas.

Dalam permohonan itu, mereka berkata pihak polis telah mengaku bahawa tangkapan itu adalah berhubung kait dengan satu perhimpunan yang belum berlangsung.

Kata aktivis itu, tindakan pihak polis menangkap mereka berhubung perhimpunan yang dirancang tetapi belum diadakan adalah salah di sini undang-undang dan tindakan mereka untuk mengadakan perhimpunan aman bukan satu kesalahan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membolehkan perintah reman dikeluarkan.

Mereka mendakwa tiada siasatan dilakukan oleh pihak polis selepas mereka ditangkap dan ditahan di Pusat Tahanan Polis Jinjang, malah percakapan mereka juga masih belum dirakam meskipun polis mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Michelle, ketika ditemui pemberita, berkata permohonan itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. — Bernama

Advertisement