Anda di sini

Panik isi minyak kerana khabar angin, jadikan pengajaran

Advertisement

TAWAU: Tindakan tergesa-gesa ke stesen minyak selepas menerima khabar angin harga minyak naik sedangkan hakikatnya diturunkan wajar dijadikan pengajaran semua pihak.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Merotai Bacho Kallo berkata, sikap mudah percaya dengan maklumat tidak sahih melalui aplikasi dan laman sembang sosial perlu diatasi.

“Ibu bapa khususnya perlu berhati-hati menapis maklumat seperti isu khabar angin kononnya harga minyak akan naik selepas jam 12 tengah malam pada 1 Ogos,” katanya.

Bacho berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Hari Raya dan hari jadi serentak tadika-tadika Daerah Tawau di Tadika Perpaduan Taman Wawasan Victoria di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Tawau Rosmah Wading dan Pegawai Perpaduan Bahagian Tawau dan Pegawai Perpaduan Daerah Tawau Wong Psun Jack.

Menurutnya, situasi itu mengakibatkan pihak peniaga mengaut keuntungan berlipat kali ganda tetapi merugikan mereka yang terpaksa beratur panjang untuk mengisi minyak.

“Ramai ibu bapa yang terpengaruh terus berebut ke stesen minyak, namun berasa kesal apabila mendapati harga minyak sebenarnya diturunkan bukannya dinaikkan,” katanya.

Beliau berkata, sikap mudah percaya dan panik apabila menerima maklumat tidak sahih dikhuatiri akan menyebabkan kesan lebih buruk kepada corak kehidupan masyarakat.

Bacho percaya semua pihak perlu merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan tidak sewenang-wenangnya menyebarkan maklumat-maklumat yang tidak sahih.

“Ibu bapa adalah contoh kepada anak-anak dan seharusnya menunjukkan kematangan ketika menerima maklumat menerusi laman ataupun aplikasi sembang sosial.

“Jika sikap panik kita setiap kali situasi sedemikian berlaku tidak dibendung, dikhuatiri akan memberikan ruang tujuan jahat oportunis memporak-perandakan negara,” katanya.

Advertisement