Anda di sini

Kesetiaan dan keikhlasan jadi pegangan UMNO Sabah

Advertisement

SANDAKAN: Kesetiaan dan keikhlasan kepada parti dan pemimpin sentiasa menjadi pegangan UMNO Sabah, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata peraturan dan perlembagaan parti sentiasa dipatuhi dalam menunaikan amanah pucuk pimpinan parti dan amalan itu jelas terbukti menjadikan UMNO Sabah mantap dan kuat.

“Kita diiktiraf sebagai deposit tetap dalam UMNO untuk menyumbang kepada kekuatan UMNO di negara ini biarpun kita merupakan anak bongsu dalam UMNO.

“Ini tidak menjadikan UMNO Sabah takbur, sebaliknya penting kepada kita untuk terus bekerja dan bekerjasama rapat dengan pucuk pimpinan bagi memantapkan perjuangan parti dan membela ahli serta rakyat,” katanya ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Libaran di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Mutimedia Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Sebab itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Libaran berkata beliau sentiasa menekankan mesej kepada semua pemimpin dan anggota UMNO Sabah untuk terus mengamalkan kesepaduan, kesepakatan, kesetiaan dan keikhlasan dalam perjuangan parti.

Katanya ia menjadi azimat dan pegangan dalam perjuangan UMNO dari dahulu hingga sekarang, seterusnya menjadi kekuatan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah.

Menurutnya apabila pucuk pimpinan cuba diganggu-gugat, awal-awal lagi UMNO Sabah tetap berdiri teguh bersama-sama pucuk pimpinan.

“Dengan kesetiaan dan keikhlasan, pucuk pimpinan menghargai perjuangan kita dan menjadi faktor kepada pelantikan pemimpin UMNO Sabah dalam jawatan kanan dalam Kabinet Persekutuan.

“Ia bukan cakap-cakap kosong tetapi adalah kenyataan dan terbaharu pelantikan Salleh untuk jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan,” katanya.

Musa berkata UMNO Sabah berjuang pada landasan yang betul termasuk sentiasa turun untuk berjumpa anggota parti dan rakyat di peringkat akar umbi bagi mengetahui masalah serta bantuan yang diperlukan mereka.

Beliau berkata semua wakil rakyat UMNO dan BN di Sabah sentiasa diingatkan tentang tanggungjawab dan amanah yang diberikan untuk berkhidmat dan membela nasib rakyat. — Bernama

Advertisement