Anda di sini

AZAM, Pejabat Daerah Bau, IM Sarawak anjur ‘Jejak Aspirasi Belia’

Advertisement

BAU: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Bau dan IM Sarawak telah menganjurkan program pembangunan belia luar bandar untuk para belia di daerah ini.

Program yang dikenali sebagai Jejak Aspirasi Belia ini telah berlangsung selama dua hari mulai 1 hingga 2 Ogos sebagai usaha untuk menyediakan belia luar bandar dengan platform untuk mempelajari peluang-peluang pembangunan terkini yang memberi impak kepada mereka.

Pada majlis pelancaran di Dewan Suarah Bau di sini semalam, Ahli Parlimen Mas Gading Anthony Nogeh berkata, pembangunan belia dapat dilihat dari segi pendidikan, bakat, kepimpinan dan kemasyarakatan sebagai contoh kesukarelaan.

Oleh itu katanya, pihak kerajaan seperti Pejabat Daerah Bau bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti AZAM Sarawak untuk membawa program pembangunan belia luar bandar ini kepada masyarakat, khasnya belia.

“Dalam kita mengejar arus pembangunan, kita juga perlu sentiasa memastikan pembangunan masyarakat seimbang dengan proses pembangunan negeri.

“Saya percaya dengan penganjuran program seperti ini, ia dapat dijadikan landasan untuk agensi kerajaan berkomunikasi dan menyebarkan maklumat pembangunan dengan masyarakat tempatan khususnya belia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Sarawak Irwan Zulkarnain Hasbie.

Program itu disertai 400 peserta yang terdiri daripada belia dan pelajar sekolah menengah dari daerah ini.

Program dimulakan dengan sesi motivasi oleh ahli AZAM Mohd Ariff Irwani Azahari dan Telemachus Lo diikuti sesi Randau Pembangunan oleh penceramah daripada Pejabat Daerah Bau mengenai pembangunan di daerah ini.

Aktiviti lain termasuk ceramah mengenai pendidikan teknikal oleh Tabung Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS), ceramah pencegahan penyalahgunaan dadah oleh Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan lain-lain.

Pada sebelah petang pula, peserta berpeluang menyertai sesi interaksi mengenai beberapa topic dan perbincangan kumpulan mengenai bagaimana untuk membantu mempromosikan daerah Bau sebagai tarikan pelancong utama.

Dalam pada itu, Jejak Aspirasi Belia yang sebelum ini dikenali sebagai Gegaran Belia merupakan sebahagian daripada program pembangunan belia AZAM yang diperkenalkan pada 2012.

Program di sini semalam, merupakan yang keenam di luar bandar selepas Niah, Kapit, Dalat, Ulu Balingian dan Marudi.

Pada majlis itu semalam, Pegawai Khas Ahli Parlimen Mas Gading Melvin Impi menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 bagi pihak Nogeh bagi tujuan program yang sama oleh AZAM.

Advertisement