Anda di sini

Malaysia dipilih tuan rumah Persidangan ICA Global 2017

Advertisement

KUALA PILAH: Badan tertinggi koperasi peringkat dunia, International Cooperative Alliance (ICA) memilih Malaysia untuk menjadi tuan rumah Persidangan ICA Global di Kuala Lumpur pada 2017.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan dwitahunan itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan di atas pencapaian dan kemajuan gerakan koperasi di negara ini.

“Keputusan memilih Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan ICA Global 2017 ini dibuat pada mesyuarat penuh Lembaga Pengarah ICA di Buenos Aires, Argentina pada 24 Julai lepas.

“Sebelum disahkan sebagai tuan rumah persidangan ini, Malaysia terpaksa bersaing dengan Australia, New Zealand dan Iran,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Tapak Wisma Mini KPDNKK, di sini semalam.

Hasan berkata pemilihan Malaysia itu juga berkait rapat dengan pengiktirafan badan koperasi negara lain terhadap peranan dimainkan Malaysia menerusi penyertaan aktif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) di peringkat global yang begitu komited serta turut membawa banyak pencapaian kepada koperasi di seluruh dunia.

Katanya perisytiharan dan penyerahan rasmi hak menjadi tuan rumah persidangan itu oleh ICA akan dibuat pada Persidangan ICA Global 2015 yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 Nov di Antalya, Turki.

“Pada persidangan di Antalya, Malaysia akan mengadakan persembahan persediaan sebagai tuan rumah dan melalui ANGKASA akan membentangkan dua kertas kerja berkaitan Sistem Kewangan Islam oleh Koperasi Pembiayaan Syariah ANGKASA (KOPSYA) serta Pencapaian Gerakan Koperasi Sekolah Malaysia yang diiktiraf antara gerakan koperasi sekolah terbaik di dunia.

“Pada peringkat antarabangsa, Malaysia melalui ANGKASA berperanan begitu menyerlah dengan idea-idea yang dikemukakan oleh ANGKASA yang diterima pakai oleh organisasi koperasi di banyak negara.

“Ini termasuk usaha Malaysia mengetengahkan dan mempromosi produk halal ke seluruh dunia, memperkukuh jaringan perniagaan koperasi dalam kalangan koperasi negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Malaysia juga menempatkan Pejabat Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa rantau Asia-Pasifik (MBO),” katanya.

Selain itu, katanya Malaysia turut memainkan peranan penting dalam menggerak dan memajukan koperasi-koperasi di negara ASEAN melalui pemilihan Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah sebagai Presiden Pertubuhan Koperasi Se-ASEAN (ACO) pada 16 Sept 2014 di Bali, Indonesia untuk tempoh 2014 hingga 2018.

Hasan berkata ICA Global mewakili kira-kira 1.5 bilion anggota di seluruh dunia yang merangkumi 238 pertubuhan koperasi.

“Ini pertubuhan yang begitu besar melibatkan aktiviti sosioekonomi dan koperasi diiktiraf sebagai institusi sosioekonomi yang membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Hasan berkata bagi menjayakan Persidangan ICA Global di Kuala Lumpur, KPDNKK meminta ANGKASA menguruskannya dan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

Pada majlis itu, sebanyak 16 orang terdiri daripada imam, ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menerima surat tawaran menunaikan fardu haji 2015 tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). — Bernama

Advertisement