Anda di sini

Jeffrey serah plak asal Batu Sumpah kepada polis

Advertisement

KENINGAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Dr Jeffrey Kitingan telah menyerahkan plak asal Batu Sumpah kepada polis di pejabatnya di Bingkor di sini pada Jumaat.

Plak Batu Sumpah itu telah diterima oleh Pegawai Bahagian Jenayah Komersil IPK Sabah ASP Pengiran Mohammad Zamri Pengiran Omar dengan disaksikan oleh Ketua Daerah OKK Mohd Amir Datuk Arif serta pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Daerah Keningau.

Selepas penyerahan plak itu, upacara menandatangani surat penyerahan dilakukan antara Jeffrey dan Zamri dengan disaksikan oleh Amir.

Surat ini adalah atas persetujuan untuk menyerahkan plak asal Batu Sumpah kepada pihak polis sepertimana yang dipohon oleh pegawai penyiasat polis dengan syarat dan jaminan bahawa plak Batu Sumpah tidak akan hilang di bawah jagaan pihak polis, plak ini akan diambil balik oleh Jeffrey untuk diserahkan secara sah kepada pihak kerajaan negeri Sabah (Muzium) pada tempoh tarikh di antara 1 Ogos hingga 16 September 2015 dan plak Batu Sumpah ini tidak akan diapa-apakan.

Jeffrey ketika berucap pada majlis itu berkata, plak itu adalah yang asal dan mempunyai sejarah penting dalam pembentukan Malaysia.

“Saya tidak jamin kalau saya simpan di rumah maka saya serahkan kepada pihak polis di samping itu juga plak ini masih dalam penyiasatan susulan mereka sehingga saya menyerah secara rasmi kepada Ketua Menteri antara bulan Ogos hingga 16 Sept tahun ini.

“Sementara itu biarlah plak ini disimpan dulu oleh polis bagi menjamin keselamatannya selain menyiapkan penyiasatan polis terhadap plak ini,” katanya.

Jeffrey turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan ketua daerah sebagai ketua adat dan yang lain turut bersama-sama dalam upacara ringkas itu.

Beliau juga berharap agar plak itu dijadikan sebagai lambang perpaduan seluruh rakyat di negara ini dan mudah-mudahan apabila batu sumpah itu sudah dipindahkan ke tempat yang sesuai, diharapkan plak ini akan dilekatkan semula di tempat asalnya.

“Saya percaya bila Batu Sumpah ini telah dipindahkan daripada bangunan Urusetia Keningau semua rakyat boleh melihat, boleh mengunjungi dan boleh menghormati batu sumpah ini sebagai satu ‘constitutional document’ dalam kerajaan Malaysia.

“Inilah permintaan saya agar plak ini tidak dihilangkan lagi dan yang lebih penting jangan hilangkan jaminan, ‘Kerajaan Malaysia Jamin’ yang tertulis dalam plak asal ini,” katanya.

Plak Batu Sumpah asal ini yang seberat lebih 20 kilogram telah disimpan selama 20 tahun oleh pesara kerajaan, Kitingon Karikang dari Kampung Nountunan Apin-Apin Keningau dan telah diserahkan kepada Jeffrey pada 4 Julai lalu.

Advertisement