Anda di sini

Tindakan gantung permit The Edge wajar: Ismail Sabri

Advertisement

Tindakan keras perlu dikenakan sebagai peringatan

BERA: Tindakan menggantung permit penerbitan akhbar The Edge dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan berkuat kuasa Isnin ini disifatkan sebagai satu tindakan wajar dan perlu dikenakan terhadap media sosial lain yang menyiar laporan menjejaskan keamanan dan perpaduan negara.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan keras perlu dikenakan untuk dijadikan sebagai peringatan supaya tidak ada pihak yang menyalahgunakan hak kebebasan suara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun dalam perlembagaan rakyat ada hak bersuara, tetapi mereka masih lagi tertakluk kepada undang-undang dan kebebasan itu tidak boleh dijadikan lesen untuk menyebarkan fitnah, menghasut, sabotaj ekonomi negara dan bertindak sebagai pengkhianat.

Jangan disebabkan ada kebebasan semua anggap kebebasan itu tiada hadnya, kalau semua beranggapan demikian, ia bukan sahaja akan merosakkan negara dari segi ekonomi, tetapi rusuhan kaum juga boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Bera di Dataran Kerayong di sini semalam yang dihadiri kira-kira 10,000 masyarakat setempat terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Majlis turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri menggantung permit The Edge dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan berkuat kuasa Isnin ini.

Tindakan itu diambil berikutan dua laporan yang dikeluarkan oleh akhbar berkenaan tentang isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan memudaratkan kepentingan awam dan negara.

Katanya tindakan yang lebih tegas wajar diambil seperti membatalkan permit dua akhbar berkenaan serta mana-mana media yang yang berterusan menyiarkan laporan menjejaskan ekonomi dan perpaduan negara.

Hishammuddin ketika diminta mengulas perkara yang sama pula berkata, tindakan keras itu perlu diambil untuk menjaga keselamatan dan keharmonian negara.

“Media ada tanggungjawab. Jika ada yang dilaporkan menjejaskan keselamatan dan keharmonian serta tidak benar, kerajaan kena buat pendirian,” katanya.

Di KEPALA BATAS, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata KDN perlu memaklumkan secara terperinci alasan kenapa permit akhbar itu digantung bagi mengelakkan berlaku salah faham.

“Perlu dijelaskan secara lebih terperinci kepada rakyat kerana rakyat ingin tahu sedalamnya isu yang berlaku dan tindakan menggantung akhbar itu juga memberi kesan kepada pengikutnya dalam sektor ekonomi serta korporat.

“Saya khuatir pertimbangan sebegini kalau gagal difahami oleh rakyat akan memberi gambaran yang tidak sihat kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri  Bertam, Shariful Azhar Othman di sini semalam.. — Bernama

Advertisement