Anda di sini

Tegas tangani pembakaran terbuka

Advertisement

Penduduk hadapi masalah kesihatan kerana terdedah kepada asap

 Jerebu di sekitar Kuala Sapi.

FENOMENA ALAM: Jerebu di sekitar Kuala Sapi.

BELURAN: Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani masalah pembakaran terbuka di kawasan seberang sungai Kampung Kuala Sapi yang berlanjutan hampir sebulan.

Penasihat Kelab Belia Kampung Kuala Sapi (KBKKS) Harry Dennis berkata, kejadian kebakaran di seberang sungai di Kampung Kuala Sapi ini menyebabkan masalah kesihatan terhadap penduduk.

“Selain itu, masalah sisa-sisa debu dari kebakaran itu telah menyebabkan penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap lebih awal dari biasa kerana debu kebakaran mengotorkan persekitaran kediaman,” katanya.

Beliau diberitahu laporan telah dibuat kepada pihak berwajib tetapi tindakan diambil masih tidak dapat menyelesaikan masalah kebakaran dengan sepenuhnya.

“Sewajarnya tindakan lebih proaktif perlu diambil dalam memadam api berkenaan yang telah menyebabkan masalah jerebu dan penduduk yang tinggal berhampiran diancam bahaya berhadapan dengan sisa-sisa debu kebakaran dan masalah kesihatan,” tegasnya.

Harry yang juga Ahli Tanak Tulun Labuk (TTL) mahu pihak kerajaan mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah kebakaran terbabit.

“Saya dimaklumkan masalah kebakaran ini bukannya disebabkan oleh penduduk kampung yang membakar untuk membuka kebun mereka,” katanya.

Beliau berkata ada pihak tertentu membuat andaian di mana kebakaran itu dilakukan oleh pemburu haram dan kaki-kaki pancing tetapi sebenarnya andaian itu tidak benar.

Beliau memberitahu  mengikut laporan diterima kebakaran itu disebabkan oleh sebuah syarikat yang dikatakan melakukan pembakaran terbuka di kawasan mereka sehingga merebak.

“Saya sudah dimaklumkan pemimpin masyarakat di kawasan terbabit telah membuat laporan rasmi kepada pihak berwajib terutamanya Jabatan Alam Sekitar, pihak polis dan juga Jabatan Bomba berhubung kebakaran tersebut disiasat sekaligus menyelesaikan permasalahan dihadapi penduduk,” katanya.

Harry berharap pihak kerajaan dapat menangani masalah pembakaran terbuka supaya kejadian seumpama ini tidak akan berlaku lagi dan bertindak tegas termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan sedemikian.

Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak membuang puntung rokok atau melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelakkan kebakaran apatah lagi pada musim kemarau.

Advertisement