Anda di sini

Tiada alasan kita gagal

Advertisement

Oleh Harry Ilias//

 Mawan menunjuk ke arah angka 365 Hari tertera pada papan elektronik LED sambil disaksikan Lee (kiri) dan Morshidi simbolik perasmian ‘Countdown’ 365 Hari Ke SUKMA XVIII Sarawak 2016  di Kuching semalam.

MISI BERMULA: Mawan menunjuk ke arah angka 365 Hari tertera pada papan elektronik LED sambil disaksikan Lee (kiri) dan Morshidi simbolik perasmian ‘Countdown’ 365 Hari Ke SUKMA XVIII Sarawak 2016 di Kuching semalam.

KUCHING: Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom berkata tiada alasan untuk kontinjen negeri gagal menjuarai SUKMA XVIII yang akan diadakan di Sarawak pada 2016.

Katanya, kelebihan sebagai tuan rumah harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh kontinjen negeri untuk mengulangi kejayaan bergelar juara keseluruhan pada temasya dwitahunan itu.

Justeru itu, beliau menggesa semua pegawai dan atlet sukan agar meningkatkan latihan untuk memastikan misi itu berjaya dicapai.

“Sejak SUKMA diperkenalkan, rekod kejayaan Sarawak dalam sejarah sukan itu menjadi bukti bahawa kita mampu mengembalikan semula kegemilangan kontinjen negeri untuk menuju ke arah kemenangan.

“Saya percaya dengan penuh harapan jika usaha dapat dilakukan dengan bersungguh-sungguh mulai dari sekarang, kita akan menuju ke landasan yang tepat untuk menjadi juara SUKMA akan datang,” katanya pada majlis pelancaran ‘Countdown’ 365 Hari Ke SUKMA XVIII Sarawak 2016 di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin, Pemangku Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Lucas Kallang Laeng, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri Sarawak, Dr Ong Kong Swee, wakil Pengarah Majlis Sukan Negara, Hazani Hashim dan Setiausaha Tetap KPS, Kameri Affandi.

Menurut Mawan, SUKMA 2016 menjadi detik paling penting bagi Sarawak dan beliau mahu semua rakyat berkongsi perjuangan ini untuk tahu betapa kerajaan negeri amat mengharapkan Sarawak dapat menjuarai temasya tersebut.

Beliau juga menuntut sokongan moral, teknikal dan kewangan bagi memastikan misi Sarawak bergelar juara menjadi realiti.

“Kita berasa amat bertuah kerana kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem amat perihatin terhadap pembangunan sukan di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, komitmen yang diberi oleh kerajaan negeri membolehkan beberapa prasarana sukan dibina bagi tujuan penganjuran SUKMA edisi ke-18 itu.

Mawan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan persiapan Sarawak dari segi fasiliti dan atlet-atlet untuk menghadapi SUKMA kali ini.

Kali terakhir Sarawak menjadi tuan rumah adalah pada 1990 di mana kontinjen negeri muncul juara pada edisi ketiga tersebut.

Sarawak juga menjuarai dua edisi SUKMA selepas itu iaitu pada 1992 (Johor) dan 1994 (Perak).

Sementara itu, Morshidi selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur SUKMA XVIII menjelaskan persiapan fasiliti di semua venue kejohanan berjalan dengan lancar dan dijangka dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual.

Menurutnya, pusat akuatik baharu di Kompleks Sukan Sarawak, Petra Jaya hampir siap sepenuhnya manakala beberapa fasiliti juga sedang dalam proses pembinaan seperti pusat petanque, menembak, boling padang, skuasy, karate, badminton, bola tampar dan perahu layar.

Beliau juga mengumumkan pelantikan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai perkampungan sukan SUKMA XVIII.

SUKMA XVIII akan diadakan dari 22 hingga 31 Julai 2016 di Kuching, Sibu dan Miri.

Ia mempertandingkan 24 acara iaitu akuatik (renang/terjun), bola sepak, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, taekwondo, wushu, badminton, berbasikal, angkat berat, boling padang, hoki (lelaki/wanita), karatedo, sepak takraw, tenpin boling, perahu layar, skuasy, gimnastik artistik, tenis, golf, petanque, tinju dan bola tampar dewan/pantai.

Advertisement