Anda di sini

Sistem Tagal mampu erat silaturahim penduduk Sabah

Advertisement

Penduduk akan bersama-sama kuat kuasa peraturan Tagal

TUARAN: Sistem Tagal iaitu sistem kawalan mengaut hasil sungai di Sabah, yang diamalkan oleh masyarakat setempat, menjadi pemangkin mengeratkan silaturahim komuniti.

Melalui sistem ini, aktiviti menangkap ikan di sesebuah sungai itu dikawal mengikut tiga zon iaitu merah (zon larangan menangkap ikan), zon hijau (sekali dalam tempoh tertentu) dan zon kuning (bebas menangkap ikan).

Pengerusi Tagal Kampung Pinahawon, Longkumin Kimus berkata sistem ini amat berkesan dalam pemuliharaan sungai secara tradisi dengan memastikan sumber ikan air tawar tidak berkurangan.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata sistem itu diraikan masyarakatnya dalam Pesta Tagal (musim menangkap ikan) dan ia menjadi produk pelancongan setempat.

“Ketika Pesta Tagal, semua penduduk akan balik ke kampung ini, untuk turut serta dalam pesta itu. Pada masa itu kita dapat berjumpa dengan rakan dan sanak saudara yang jarang balik ke kampung.. ia akan mengeratkan lagi tali persahabatan dan kekeluargaan dalam kalangan penduduk,” katanya.

Longkumin yang telah menjadi pengerusi Tagal di kampung berkenaan sejak 10 tahun lepas berkata, semasa pesta menangkap itu, kesemua yang hadir akan bekerjasama untuk melakukan tugasan yang  telah diagihkan.

Sementara itu, Lodimun Balantis, Pengerusi Tagal di Kampung Mangkaladom berkata idea untuk mewujudkan Sistem Tagal di kampung itu, adalah untuk memastikan sumber ikan air tawar tidak berkurangan.

Namun, beliau berkata manfaat melaksanakan Sistem Tagal itu bukan semata-mata kerana ingin memastikan ikan air tawar tidak pupus, tetapi ia juga untuk memastikan sistem kekeluargaan di kampung berkenaan sentiasa kukuh.

“Selain perayaan lain, seperti pesta Kaamatan, Pesta Tagal juga mampu memeriahkan kampung ini dengan kepulangan ramai penduduk yang kebanyakan kini menetap di bandar. Mereka yang bekerja akan mengambil cuti untuk sama-sama memeriahkan lagi pesta menangkap ikan itu,” katanya.

Penduduk kampung akan bersama-sama menguatkuasakan peraturan Tagal termasuk tidak membenarkan tangkapan ikan dalam tempoh tertentu serta memastikan sumber perikanan sungai tidak diancam sebarang bentuk pencemaran seperti sampah.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan ‘sogit’ atau denda oleh ketua kampung. — Bernama

Advertisement