Anda di sini

Sabah terus kekal bersama Malaysia, tiada isu untuk berpisah, kata Musa

Advertisement

TAWAU: Sabah akan terus kekal di bawah naungan Malaysia dan tiada isu ingin berpisah daripada negara ini, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

“Tidak timbul isu ingin berpisah dari Malaysia sebaliknya rasa bersyukur dan berterima kasih perlu dizahirkan kerana terus berada dalam lindungan negara yang aman dan sentosa serta makmur.

“Kita dalam Malaysia sangat bertuah kerana boleh bekerjasama serta mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat dalam usaha membangunkan negeri ini selari dengan negeri lain di negara ini,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UMNO Zon 6 di Dewan Masyarakat Tawau di sini semalam.

Mengulas mengenai majlis itu, Musa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum menunjukkan kesepakatan dan perpaduan sentiasa utuh di negara ini.

Lebih 5,000 masyarakat berbilang kaum termasuk anggota UMNO hadir pada majlis bermula jam 10 pagi hingga 2 petang itu.

Antara yang hadir Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, dan Anggota Parlimen Kalabakan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching, Ahli Parlimen Silam Datuk Datu Nasrun Datu Mansor, Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Ramlee Marahaban dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang Datuk Seri Nasir Sakaran.

Sementara itu, Musa berkata kerajaan sentiasa bersedia membawa pembangunan secara berperingkat di kawasan pantai timur Sabah, bagi memenuhi keperluan rakyat di kawasan tersebut.

“Kita sentiasa peka dengan kehendak rakyat kerana kita yakin dengan sokongan yang tidak berbelah bagi oleh masyarakat di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Musa berkata pihaknya kesal berhubung insiden yang mengorbankan seorang anggota bomba di Sandakan akibat terkena renjatan elektrik yang disambung secara haram, ketika melakukan operasi.

“Arahan telah dikeluarkan kepada agensi yang terlibat khasnya Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) untuk mengambil tindakan segera dan sewajarnya agar insiden seperti itu tidak lagi berulang.

“Saya amat sedih dengan insiden ini kerana ia melibatkan nyawa. Sambungan haram seperti itu perlu dibanteras dan tindakan wajar diambil kepada yang terlibat,” tegas Musa. — Bernama

Pada 20 Julai lalu, Apolos Jeremos, 25, terbunuh dipercayai selepas terkena renjatan elektrik di kawasan semak ketika bertugas memadamkan kebakaran belukar di Batu 7, Taman Kenari, Sandakan.

Apolos dipercayai terpijak wayar di semak berkenaan yang disambung secara haram. — Bernama

Advertisement